SELEPAS lapan minggu bersiaran, Idola Kecil Di Rumah akhirnya sampai ke penghujungnya apabila peserta dari Selangor, Adaputra Iskandar Danial bin Asdahrizam muncul juara program terbabit.

Ada,11, berjaya menewaskan lima peserta lain sekaligus membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000.

Ada bersama keluarga selepas diumumkan juara Idola Kecil Di Rumah

Manakala peserta yang juga dari Selangor, Razfazreyza Fenge Mat Rafengi atau Reyza, 12, dinboatkan naib juara dan berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Manakala tempat ketiga pula menjadi milik peserta kelahiran Sabah, Nur Qaireen Izyan Damia Jukiri atau Qyen, 11, menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Peserta Idola Kecil Di Rumah yang diadakan secara virtual

Pengurus Projek Idola Kecil Di Rumah, Muhamad Sufian Che Isa, melahirkan rasa kagum dengan kegigihan serta bakat yang ditonjolkan ke semua peserta sepanjang lapan minggu bersiaran.

“Bagi pihak produksi, kami ingin mengucapkan tahniah kepada peserta yang telah mengikuti pengisian program Idola Kecil Di Rumah dari awal hingga ke akhir.

“Kami sangat kagum dengan kesungguhan mereka untuk menyelesaikan semua tugasan dan cabaran mingguan yang diberikan dan tidak ketinggalan juga penghargaan tinggi kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang sentiasa sudi bekerjasama untuk memastikan sesi rakaman dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Program yang dihoskan oleh Sissy Imann dan dirakamkan secara ‘virtual’ tanpa kehadiran peserta cilik di studio itu telah mendapat tajan daripada Scott’s.

Sissy Imann bersama Ernie Zakri ketika episod akhir Idola Kecil Di Rumah

Bersesuaian dengan norma baharu iaitu sesi pembelajaran dari rumah, Idola Kecil Di Rumah membuka peluang kepada enam kanak-kanak yang berumur antara lapan hingga 12 tahun untuk mengikuti pelbagai pengisian program ilmiah dan rekreasi yang bermanfaat.

Mereka yang turut menyertai program ini ialah Nur Zulaikha Mohamad Riduan (Ikha, 12 tahun, Selangor), NurAdyena Hanim Abdul Hamid (Dyna, 11 tahun, Negeri Sembilan) dan Nur Marsha Auni Zahira (Asha, 12 tahun, Kuala Lumpur).

Idola Kecil Di Rumah mengambil pendekatan melakukan sesi rakaman secara atas talian dengan enam peserta terpilih ini.

Selain melakukan persembahan secara maya dari rumah, para peserta juga diberikan cabaran – cabaran yang berbeza seperti Sembang IK dan Genius IK untuk menguji kebolehan komunikasi, IQ dan kecerdasan otak.

Program ini juga memaparkan selebriti jemputan dalam setiap episod untuk berinteraksi dengan peserta-peserta ini supaya pengisian program tetap menarik walaupun ia dirakam secara maya.

Sejak diperkenalkan pada 2008, Idola Kecil telah melahirkan barisan penyanyi yang berjaya mencipta nama sehingga ke hari ini.

Mereka antaranya ialah Haqiem Rusli, Afieq Syazwan, Ben Ladin, Didi Astillah, Azzam Sham, Irfan Haris, Harrisas Aliff dan ramai lagi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram