Dr Radzi Jidin meninjau hari pertama pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 dekat ibu negara hari ini.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mendapati sebahagian besar murid sudah biasa melakukan ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 dekat ibu negara hari ini bagi melihat pengoperasian sekolah dan hari pertama pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah berpuas hati dengan proses berkenaan.

“Alhamdulillah, kita lihat anak-anak ini mula memahami tentang kaedah dan tatacara pelaksanaannya di sekolah.

“Kita lihat pelaksanaan hari ini berjalan dengan baik, murid dapat mematuhi arahan yang diberikan oleh guru-guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada media.

Sehubungan itu, Radzi berkata KPM yakin proses tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan teratur pada minggu berikutnya hingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Disember ini.

Mengenai pelaksanaan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran dilaksanakan pada setiap minggu pada Rabu, Radzi berkata, seramai 28 daripada 280 murid di SK Bandar Sri Damansara 3 dipilih untuk melaksanakan ujian itu.

Baca: Omicron: Kemasukan pelajar antarabangsa, pekerja asing ditangguhkan

Purata kehadiran murid catat lebih 85 peratus – Radzi

Dr Radzi Jidin meninjau hari pertama pelaksanaan proses ujian kendiri COVID-19 di SK Bandar Sri Damansara 3 hari ini.

Pada 27 November lalu, KPM memaklumkan pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

Sehari sebelum itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula 29 November.

Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Radzi berkata, bagi SK Bandar Sri Damansara 3, seramai 28 daripada 280 murid yang hadir ke sekolah telah terpilih melaksanakan ujian yang merupakan sebahagian daripada Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang telah dikeluarkan oleh KKM.

“Alhamdulillah, pelaksanaan ujian saringan kendiri yang menggunakan air liur ini berjalan dengan baik dan teratur.

“Arahan yang diberikan guru juga dipatuhi dengan baik. Malah ada diantara murid ini yang pernah menggunakan kit ini, jadi mereka mampu untuk melakukannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah.

“Terima kasih buat guru-guru dan syabas kepada murid yang terlibat dalam ujian saringan hari ini,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram