Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu kepada peniaga ayam ketika mengadakan tinjauan harga barang di Myfarm Outlet Kasih, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN akan mengambil langkah untuk mendapat bekalan ayam import serta menghentikan seketika eksport ikan ke luar negara bagi menstabilkan harga bahan makanan yang meningkat ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan telah pun diadakan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee bagi memberi pilihan kepada pengguna dari segi ayam segar dan ayam sejuk beku yang diimport.

Menurut beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mengimport 200 ke 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu hadapan.

Bagi bekalan ikan pula, Ismail Sabri berkata, stok ikan sejuk beku di bawah program Q’Fish kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan dilambakkan dalam pasaran.

“Memang benar harga naik, ayam misalnya jarang naik sampai RM9.50 hingga RM9.80 dan pelbagai alasan diberikan penternak dari segi kenaikan harga makanan ayam dan sebagainya.

“Bagi pihak kerajaan, saya telah bincang dengan Ronald supaya berikan pilihan kepada pengguna dengan mengimport ayam. Kita banjirkan pasaran ini dengan ayam daripada luar yang harganya lebih murah.

“Saya juga minta Ronald, kalau boleh kita hentikan eksport ikan ke luar negara kerana yang penting adalah kebajikan rakyat yang sekarang ini terbeban dengan kenaikan harga,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan sesuatu kepada peniaga ikan ketika mengadakan tinjauan harga barang di Myfarm Outlet Kasih, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Jualan Keluarga Malaysia tawar barangan keperluan pada harga lebih murah

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan harga barang di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna melakukan penguatkuasaan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang memanipulasi harga.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pula akan membantu melambakkan bekalan dalam pasaran supaya harga dapat diturunkan.

“Saya telah minta KPDNHEP melakukan penguatkuasaan tegas dan tidak ada kompromi lagi kepada mereka yang ambil kesempatan untuk memanipulasi harga sesuka hati.

“Pasar tani juga perlu dipantau dari segi harga kerana tujuan kita wujudkan pasar tani untuk kurangkan harga.

“Pasar tani tak sepatutnya berlaku banyak rantaian yang boleh dimanipulasi orang tengah kerana prinsip pasar tani adalah daripada ladang kepada pasar tani terus ke meja makan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram