PADA pertengahan tahun 2007, sekumpulan ahli arkeologi dari Itali telah menemui sepasang kerangka manusia yang sedang berpelukan erat ketika melakukan ekskavasi di pinggir kota Valdaro, Mantova, Itali.

Kerangka lelaki dan perempuan itu dikatakan sepasang kekasih dari zaman prasejarah, dan kisah cinta mereka telah tertanam di situ sejak 5,000 hingga 6,000 tahun dahulu.

Kisah cinta ini telah ditemui oleh sepasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Irena Mannorti di pinggir kota Valdaro, Mantova, di bahagian utara Itali.

Rangka kekasih yang ditemui ahli arkeologi.

Penemuan ini telah membuatkan ahli yang terlibat di dalam proses ekskavasi ini berasa takjub dengan gambaran kisah cinta mereka. Bahkan, ketika cerita ini mula tersebar di dunia maya, kebanyakan masyarakat dunia turut memberi respons yang serupa.

Menurut Dr. Irena Mannorti, pasangan ini telah ditemui dalam keadaan berpelukan dengan posisi kedua-duanya berbaring ke sisi. Kedudukan tengkorak menunjukkan mereka saling berhadapan, seperti sedang bertentang mata antara satu sama lain. Sementara tangan dan kaki kedua-duanya pula dalam keadaan berpaut dan terjalin erat.

Rangka ini ditemui dalam keadaan berpelukan.

Berdasarkan kepada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap kedua-dua spesimen kerangka berkenaan, pasukan penyelidik itu mendapati pasangan prasejarah berkenaan tidak mempunyai sebarang pertalian darah. Justeru, ini menunjukkan bahawa mereka tidak ada hubungan keluarga, sebaliknya lebih menjurus kepada perhubungan antara kekasih.

Ahli arkeologi juga yakin bahawa pasangan kerangka ini telah meninggal dunia ketika kedua-duanya masih remaja. Berdasarkan kepada keadaan gigi mereka yang masih utuh, para penyelidik menganggarkan usia mereka adalah sekitar 18 hingga 20 tahun.

Selain itu, penemuan beberapa perkakas purba lain di samping kerangka berkenaan menunjukkan bahawa pasangan yang digelar sebagai ‘kekasih Valdaro’ ini berasal dari zaman batu akhir. Antara perkakas yang ditemui ialah seperti anak panah dan senjata yang diperbuat daripada batu, tulang haiwan purba serta peralatan lain seperti tembikar.

Para penyelidik juga tidak bercadang untuk memisahkan kerangka-kerangka itu, sebaliknya mereka berusaha untuk mengekalkan kedudukan posisi pasangan ini yang saling berpelukan kerana ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Bahkan, ketika kerangka tersebut dibawa ke Muzium Arkeologi Mantova, posisi pelukan mereka dikekalkan seperti mana ia ditemui.

Gambaran pasangan kekasih janaan komputer berdasarkan rangka yang ditemui.

Jelas Dr. Irena Mannorti lagi, pengetahuan mereka tentang Romeo dan Juliet zaman batu ini masih terlalu sedikit. Justeru, kajian lebih lanjut perlu dijalankan bagi mengungkai dan menghuraikan segala teka-teki yang menyelubungi penemuan bersejarah ini.

Ini kerana, ada indikasi yang menunjukkan bahawa pasangan ini bukannya mati berpelukan, sebaliknya mereka hanya dikuburkan bersama di makam prasejarah. Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti kukuh yang boleh menyokong hujah berkenaan.

Selain itu, terdapat juga spekulasi yang menyatakan bahawa berkemungkinan pasangan ini mati dibunuh. Ia berdasarkan kepada sejarah kawasan Mantova itu sendiri yang memiliki banyak kisah-kisah cinta tragis. Ini termasuklah legenda kisah cinta Romeo dan Juliet yang dikatakan berlaku di daerah berkenaan.

Bagaimanapun, spekulasi itu disanggah oleh penyelaras Muzium Arkeologi Mantova, Profesor Dr. Silvia Bagnoli. Berdasarkan kepada tulang rangka yang ditemui, beliau menyatakan, tiada sebarang kecederaan atau tanda-tanda yang menunjukkan pasangan ini mengalami kematian yang ganas. Justeru, spekulasi yang mengatakan pasangan ini mati dibunuh telah ditolak.

Rangka kekasih Valdaro ini dipamerkan dalam muzium dalam posisi asal semasa ditemui.

Namun, Dr. Silvia Bagnoli tidak menolak kemungkinan sekiranya pasangan ini mati berpelukan dalam keadaan cuaca sejuk ataupun disebabkan oleh sesuatu wabak kerana usia ketika mereka meninggal dunia adalah sangat muda. Bagaimanapun, beliau sendiri lebih cenderung mengandaikan bahawa pasangan ini telah ditetapkan dalam posisi sedemikian selepas kematian mereka.

Rangka ‘kekasih Valdaro’ ini kini dipamerkan di muzium di Mantua, selatan Itali.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare