Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGOPERASIAN Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) di lokasi baharu iaitu di Sepang, diyakini mampu mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara negara setanding negara maju lain di dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, KL ATCC itu bukan sahaja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung Malaysia, malah turut menempatkan Pusat Mencari dan Menyelamat Negara dan Joint Airspace Management Coordination Center (JAMCC).

“Pusat kawalan secara bersepadu yang serba canggih ini tentunya keupayaan dan kesiapsiagaan negara telah dapat dipertingkatkan untuk menghadapi situasi dunia penerbangan yang serba mencabar serta dapat menyokong masa depan generasi akan datang yang lebih cerah,” katanya ketika berucap merasmikan KL ATCC di Sepang hari ini.

Pada 1 September lepas, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pemindahan operasi KL ATCC ke Sepang dari Subang menyaksikan penstrukturan semula ruang udara negara daripada tujuh kepada 14 sektor.

KL ATCC yang ditempatkan dalam bangunan dengan inspirasi reka bentuk ‘wau’ menempatkan pusat operasi trafik udara Maklumat Penerbangan Ruang Udara Kuala Lumpur (KL FIR), yang merupakan tulang belakang kepada fungsi kawalan trafik udara negara dan Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Aeronautik.

Menyorot pembangunan KL ATCC itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan meluluskan projek itu sebagai antara projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dengan peruntukan sebanyak RM650.366 juta berikutan perkembangan pesat industri penerbangan awam dan hasrat untuk memperkasakan pengurusan dan pemantauan ruang udara negara.

Baca artikel berkaitan: Terlalu banyak rantaian punca harga barang naik – PM

Perdana menteri turut menyifatkan pengoperasian KL ATCC itu adalah tepat pada waktunya iaitu ketika negara sedang mengambil tindakan untuk memulihkan ekonomi negara.

Katanya, sungguhpun industri penerbangan awam mengalami kemerosotan ketara ekoran pandemik COVID-19 pada awal 2020 sehingga menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa dan menjejaskan industri pengangkutan udara, namun trend peningkatan semula sektor tersebut dijangka kembali pulih menjelang 2025.

“Besar harapan saya agar pembukaan sempadan negara kelak akan merancakkan lagi sektor penerbangan awam, yang secara langsung akan memberikan kesan positif hasil limpahan kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti rang udara yang akan terhasil daripada projek KL ATCC itu tentunya akan memberikan impak positif kepada sektor ekonomi negara, terutamanya dalam sektor penerbangan awam.

Ismail Sabri berkata, kejayaan pembangunan projek KL ATCC itu adalah sebahagian daripada pencapaian Keluarga Malaysia yang amat membanggakan berdasarkan kepada tenaga mahir tempatan yang telah digunakan.

Ilmu yang ditimba ketika pelaksanaan projek KL ATCC itu tentunya menjadi satu aset yang penting untuk negara bagi memastikan negara mampu berdiri sendiri dan seterusnya menyokong kemajuan serta pembangunan pelbagai industri lain, katanya.

Beliau turut berharap agar segala pengalaman yang telah diperoleh akan dapat digunakan sebaik mungkin dan menjadi panduan untuk pembangunan yang akan datang.

“Situasi tentunya akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap kepakaran dan kemahiran negara asing, yang secara langsung akan mengurangkan pengaliran keluar sumber ekonomi demi menjaga kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu juga dilihat telah membolehkan perkhidmatan kawalan trafik udara negara kekal dikawal sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dalam persekitaran kerja yang kondusif.

“Keadaan ini juga telah membuktikan bahawa kepakaran dan kemahiran rakyat tempatan adalah standing dengan kepakaran dan kemahiran asing, malah mungkin dalam sesetengah aspek adalah jauh lebih baik.

“Semoga apa yang telah diusahakan ini akan menjadi satu contoh kepada lain dan seterusnya mampu membawa Malaysia untuk terus maju kehadapan,” katanya. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram