SEREMBAN 24 SEPTEMBER 2021. Selebriti, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban bagi sebutan semula kes pendakwaan atas pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebuah kedai permaidani di Nilai, 2 Mei lalu. STR/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

MAHKAMAH Majistret Seremban, hari ini, melepas tanpa membebaskan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Ismail daripada tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 2 Mei lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling menarik balik semua pertuduhan.

Walau bagaimanapun, mahkamah menetapkan 21 Disember ini bagi memutuskan perintah membebaskan kedua-dua tertuduh berkenaan.

Muhammad Haris atau PU Riz, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah berkata, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Haris dan satu pertuduhan terhadap Neelofa.

“Pihak pendakwaan juga sudah menerima dokumen representasi yang kita dikemukakan sebelum ini dan Peguam Negara sudah bersetuju bahawa perkara ini bukanlah begitu besar tetapi dibesar-besarkan.

“Satu proses kompaun akan berlaku sama ada hari ini atau esok (norminal amaun) dan selepas kita bayar kita datang balik, sebab kompaun bukan sesuatu perintah yang sama dengan didapati bersalah. Ia neutral tidak ada rekod langsung.

“Kita akan kembali di sini pada 21 Disember nanti untuk keputusan dilepaskan dan dibebaskan.

“Sungguhpun ketiga-tiga tuduhan itu kita boleh lawan dan mungkin dengan senang kita boleh menang, tapi ia akan berlarutan,” katanya.

Peguam itu berkata, perkara itu tidak harus dipanjangkan atau berlarutan lagi kerana keadaan Neelofa yang sedang hamil dan tidak sesuai kes berkenaan terus berjalan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan kadar kompaun yang akan dikenakan namun menjangkakan ia adalah rendah.

“Kami berpuas hati dengan keputusan perbicaraan hari ini, jadi pada 21 Disember nanti keputusan akan dibuat daripada melepas tanpa membebaskan kepada dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Terdahulu, Neelofa dan Muhammad Haris tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 9.30 pagi.

Neelofa yang berjubah kebiruan dan Muhammad Haris berbaju sut biru memasuki pintu pengawal kompleks dengan mengikut SOP ditetapkan.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

—————————

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari 
utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam