DALAM salasilah kesultanan negeri Perak, terdapat sebilah senjata yang merupakan salah satu alat kebesaran diraja, serta menjadi kemegahan kepada institusi pemerintahan di negeri itu.

Ia adalah pedang Cura Si Manja Kini, senjata legenda yang diselubungi pelbagai kisah. Sekali lihat rupanya, pedang berusia ribuan tahun ini mungkin tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Namun, jika dilihat kepada susur galur penceritaan di sebalik pedang ini, ia melakar banyak sejarah.

Pedang ini disebut dalam teks Sejarah Melayu, diceritakan kepunyaan Maharaja Sang Sapurba iaitu nenek moyang legenda Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan maklumat daripada Pejabat DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan, perkataan ‘Cura Si Manja Kini’ adalah berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu ‘Churiga Mandakini’ yang bererti mata pisau dari Mandakini – sebuah tasik berhampiran dengan Sungai Ganges, India.

Adalah dipercayai, pemilik asal pedang Cura Si Manja Kini ialah Sang Sapurba yang turut dikenali sebagai Sang Nila Utama.

Mengikut Hikayat Ketinggian Salasilah Perak, keturunan Sultan Perak adalah berasal dari Sang Sapurba, anakanda kepada Raja Suran dan Puteri Mahtab Al-Bahari, yang juga merupakan pewaris takhta Raja Aftab Al-Ardzi.

Ketika pemerintahan baginda, dikatakan Sang Sapurba pernah memerintahkan pahlawannya, Permasku Mambang untuk membunuh jelmaan yang digelar Saktimuna dengan menggunakan Cura Si Manja Kini. Pedang itu kemudiannya telah diwariskan secara turun-temurun selepas kewafatan baginda.

Dipercayai, pedang yang sama juga telah digunakan oleh Parameswara semasa beliau ditabalkan sebagai Maharaja Melaka yang pertama. Gelaran Maharaja ini kemudiannya ditukarkan kepada Sultan apabila Parameswara memeluk agama Islam.

Pedang Cura Si Manja Kini.

Almarhum Sultan Mahmud, Sultan terakhir Melaka, telah mewarisi pedang ini dan disimpan olehnya sehingga baginda menjadi Sultan Kampar-Sumatera selepas berundur dari serangan Portugis pada tahun 1511. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1530.

Sebelum mangkat, Sultan Mahmud telah menghantar anakandanya, Raja Mudzaffar Shah untuk menjadi Sultan pertama bagi Negeri Perak. 

Di dalam keberangkatan Raja Mudzaffar Shah, baginda dilengkapkan dengan pedang Cura Si Manja Kini beserta alat-alat kebesaran kesultanan yang lain seperti nobat, nafiri, cop mohor halilintar serta beberapa barangan lain.

Rombongan tersebut turut diiringi pembesar Megat Terawis. Pelayaran yang dikemudikan oleh Nakhoda Tumi itu telah singgah di beberapa lokasi seperti Siak, kemudian ke Klang dan seterusnya ke kuala Sungai Perak. Bagaimanapun, bahtera tersebut telah mengalami masalah ketika melalui lubuk pusar di Beting Beras Basah, Bagan Datoh, Perak.

Menurut pengkaji sejarah Melayu dari Universiti Brunei Darussalam, Dr. Abdullah Jumain Abu Samah, peristiwa di Beting Beras Basah turut dikaitkan dengan unsur paranormal. Selepas melakukan upacara tertentu, barulah bahtera baginda dapat bergerak ke tepi tebing dan disambut oleh rakyat Perak.

Pewaris kerajaan Perak yang akan ditabalkan menjadi Sultan wajib menjejakkan kaki di Beting Beras Basah.

Selain itu, ada juga pendapat yang mengatakan baginda terpaksa membuang kesemua peralatan dari bahteranya kecuali alat kebesaran diraja ketika mereka tersadai di beting tersebut.

Baginda kemudiannya telah dibawa mudik ke hulu dan ditabalkan menjadi sultan Perak yang pertama di Tanah Abang pada tahun 1528. Bermula dari saat itu, setiap pewaris takhta negeri Perak yang akan ditabalkan menjadi sultan, diwajibkan menziarahi Beting Beras Basah dan menjejakkan kaki di atas beting pasir tersebut.

Selepas peristiwa bersejarah itu, pedang Cura Si Manja Kini yang melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah, telah menjadi alat perkakas turun-temurun bagi sultan yang memerintah Negeri Perak.

Dari Sang Nila Utama pengasas kerajaan Singapura Lama, kepada Parameswara pemerintah pertama Kesultanan Melaka dan seterusnya kepada Muzaffar Syah I, Sultan Perak Pertama, pedang Cura Si Manja Kini selama ratusan tahun menjadi simbol kedaulatan dan kekuasaan dalam budaya Melayu.

Berdasarkan kepada sejarahnya, tidak hairanlah jika ia dikaitkan dengan tamadun awal Melayu di Asia Tenggara, apatah lagi ia turut mempunyai kaitan yang kuat dengan institusi diraja Melayu.

Perang Cura Si Manja Kini merupakan salah satu alat kebesaran diraja negeri Perak.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare