Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan kenamaan lain memakai baju batik ketika Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan tarikh 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap dengan pengisytiharan hari tersebut ia dapat menggalakkan seluruh rakyat termasuk pihak swasta dan semua masyarakat berbilang kaum untuk memakai pakaian batik Malaysia.

Dalam ucapan khas disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV1 dan media sosial malam ini, kata Ismail Sabri, usaha berkenaan bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia di mana seluruh rakyat berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan batik tempatan.

“Saya percaya pengisytiharan hari tersebut juga dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran batik negara,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, pemilihan tarikh itu yang dipersetujui Kabinet pada 26 November lalu adalah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat dalam kraf batik ditonjolkan Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kata Ismail Sabri, pada tarikh sama pada tahun 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa.

Baca: Ahli Parlimen boleh pakai baju batik hadiri Sidang Dewan Rakyat

Batik Malaysia mewarnai sidang Parlimen hari ini

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan dan Budaya (MOTAC) atas usaha jitu dalam merealisasikan hari bersejarah itu.

“Saya amat gembira menyaksikan usaha MOTAC melalui Kraftangan Malaysia dalam membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi global,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga telah tetapkan setiap hari Khamis sebagai hari pemakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam dan Keluarga Malaysia termasuk di Parlimen.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, kerajaan menggalakkan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan memakai pakaian batik Malaysia sebagai pakaian bekerja pada setiap Khamis termasuk bagi menghadiri majlis rasmi dalam atau luar negara seperti persidangan antarabangsa atau perjumpaan pelawat asing. 

Menurut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 yang diedarkan hari ini, yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, ketetapan pemakaian pakaian batik Malaysia itu  tidak terpakai kepada pegawai yang dibekalkan dengan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi yang telah ditetapkan kod pakaian tertentu.

Dasar baharu itu juga tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, pemakaian peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan tersebut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Menurut pekililing itu ketetapan baharu itu meminda kehendak pemakaian pakaian batik Malaysia perenggan 4, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2006 mengenai Fesyen Pakaian Alternatif Sebagai Pakaian Semasa Bekerja dan Menghadiri Upacara Rasmi.

“Dengan berkuat kuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2008 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia oleh Pegawai Awam Pada Hari Khamis adalah dengan ini dibatalkan,” menurut pekeliling itu.  

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram