Arif Aiman bersama Kalamullah Al- Hafiz menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya hari ini./ Gambar FB FAM.

SEBELUM ini Tan Cheng Hoe ‘diasak’ peminat bola sepak Malaysia apabila tidak menamakan Arif Aiman Mohd Hanapi atas alasan bimbang pemain muda JDT itu keletihan.

Walhal Arif Aiman, 19, antara pemain serangan terbaik yang ada dengan bintang muda itu sentiasa menampilkan aksi konsisten dalam saingan Piala Malaysia.

Justeru ramai yang hairan dan musykil dengan alasan diberikan Cheng Hoe sedangkan mana-mana jurulatih skuad kebangsaan pastinya mahu membawa barisan terbaik ke sesuatu kejohanan.

Apatah lagi, Piala AFF Suzuki yang bakal berlangsung empat hari lagi adalah kejohanan yang ditunggu seluruh peminat bola sepak kerana dianggap Piala Dunia Asia Tenggara.

Namun, kegelisahan peminat bola sepak berakhir apabila menerima ‘kejutan’ petang ini apabila tonggak sayap JDT itu akhirnya dipanggil Cheng Hoe.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bola Speak Malaysia (FAM) menerusi Facebook sebentar tadi.

“Arif Aiman Tersenarai Ke Latihan Pusat Harimau Malaya.

“Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah memanggil pemain Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Mohd Hanapi, 19, untuk melapor diri ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, hari ini bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura,” kata FAM.

Baca: 17 tahun dah rasa Euro, kita yang usia 23 pun dok kata muda lagi

Turut dipanggil, penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, 26.

“Dua pemain baharu – Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Arif Aiman Mohd Hanapi menyertai latihan skuad Harimau Malaya, petang ini bagi menggantikan Azri Ab Ghani dan Mohamadou Sumareh yang disahkan mengalami kecederaan,” kata FAM.

Semalam, FAM memaklumkan dua pemain Kuala Lumpur City FC – Akram Mahinan dan Kenny Pallraj terpaksa digugurkan selepas disahkan mengalami kecederaan pangkal paha dan lutut.

Arif Aiman pernah membuat kemunculan bersama Harimau Malaysia pada saingan kelayakan Piala Dunia sebelum ini.

Meski pun masih di usia remaja, tetapi aksi ditampilkannya mendapat pujian kerana mampu beraksi dengan matang selain kelincahan yang menyukarkan benteng lawan.