Menteri Kanan Pendidikan,Datuk Dr Radzi Jidin turut membuat lawatan ke sekolah bertaraf Sekolah Berasrama Penuh itu di Cyberjaya malam tadi.


JUMLAH individu disahkan positif Covid-19 di Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya meningkat kepada 139 orang setakat pukul 3 petang ini.


Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ri Ngadiman berkata, kes positif melibatkan Kluster Persiaran Tasik itu terdiri daripada 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas.

Menurutnya, individu yang positif dirujuk ke PKRC MAEPS manakala kontak rapat akan ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan.

“Kesemua 139 kes yang positif Covid-19 berada dalam keadaan stabil dan berada dalam kategori 1 dan kategori 2A (bergejala tetapi risiko rendah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sha’ri berkata, kes indeks kluster itu melibatkan seorang guru yang bergejala pada 22 November dan disahkan positif Covid-19 pada 24 November.

Katanya, saringan kontak rapat kemudiannya mengesan tujuh lagi kes iaitu enam pelajar dan seorang lagi guru, sekali gus Kluster Covid-19 diumumkan pada 29 November 2021 sebagai Kluster Persiaran Tasik.

“Kesemua enam pelajar itu telah dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 MAEPS, Serdang manakala kedua-dua guru tersebut menjalani pengasingan di rumah,” katanya.

Pada masa sama, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah melakukan saringan pada 1 Disember 2021 ke atas 240 pelajar dan seramai 65 kes baharu positif Covid-19 dikesan.

Proses saringan itu katanya diteruskan pada 2 Disember 2021 ke atas 523 individu yang terdiri daripada 432 pelajar, 53 guru dan 38 petugas.

Saringan tersebut kemudiannya mendapati, 65 kes baharu positif Covid-19 membabitkan 43 pelajar, 13 guru dan 9 petugas dikesan.

“Jumlah keseluruhan individu yang disaring sehingga jam 3 petang, 2 Disember 2021 adalah seramai 946 orang (849 pelajar, 59 guru dan 38 petugas).

“PKD Sepang dan pihak sekolah bekerjasama rapat dalam menangani kluster ini dan sebarang maklumat terkini Kluster Persiaran Tasik ini akan dikemaskini untuk makluman umum dari semasa ke semasa,”katanya.