FAKTOR tiada lagi persefahaman mendorong pelakon Siti Saleha memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, Ahmad Lutfi Azhar di Mahkamah Rendah Syariah Klang, hari ini.
Perkara berkenaan dikongsikan sendiri peguam yang mewakili Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Salehah Mohd Baharum iaitu Azmi Mohd Rais.
Siti Saleha hadir bersama Azmi bagi prosiding mendengar laporan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) berhubung kes tuntutan perceraiannya.
Walau bagaimanapun, kes tersebut ditangguhkan pada 17 Januari depan.
Menurut Azmi, JKP akan dilakukan sekali lagi sebelum tarikh berkenaan berikutan defendan dan wakilnya gagal hadir pada sesi sebelum ini.
“Prosiding tadi adalah untuk menilai proses JKP tapi ditangguhkan pada 17 Januari kerana defendan dan wakil JKP tidak hadir. Defendan dan wakilnya tidak hadir pada sesi sebelum ini kerana berada di luar negara.
“Jadi, JKP akan diadakan sekali lagi sebelum 17 Januari dan hakim akan membacakan laporan itu sama ada menilai perintah shiqaq perlu dikeluarkan dan seterusnya pelantikan hakam,” katanya memetik laporan mStar.
Sementara itu, hakim Syarie Mohd Hairuddin Abdul Rahim menetapkan tarikh berkenaan bagi membaca laporan JKP dan menentukan sama ada perintah perceraian dengan talak atau shiqaq perlu dikeluarkan atau tidak.
Dalam laporan URTV sebelum ini, Siti Saleha menganggap pergolakkan rumah tangga yang menimpa dirinya sebagai satu ujian dalam hidupnya.
Sehingga kini, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu tidak bersedia untuk berkongsi secara terperinci dan meminta untuk diberi ruang privasi.
Terdahulu, pada 13 Oktober lalu, Siti Saleha mengejutkan ramai pihak apabila hadir ke mahkamah bagi kes sebutan perceraiannya dengan Ahmad Lutfi.
Siti Saleha dan Ahmad Lutfi mendirikan rumah tangga pada 28 Julai 2017 dan mereka belum dikurniakan cahaya mata.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram