BAKAT tanpa batasan penyanyi hip hop terbaru, Sya kembali lagi dengan sebuah karya berjudul Madame selepas tampil dengan lagu pertama Pretty Girl Bop bersama bintang Singapura terkenal, Yung Raja. 

Madame merupakan sebuah lagu yang berkisahkan keinginan Sya untuk memiliki sebuah kereta Bentley sehinggalah kepada sebuah vila di Anguila dan dia turut berpeluang untuk berkhayal membayangkan cara merealisasikan impian tersebut.

Sememangnya lagu ini mampu memberi semangat buat para pendengar untuk terus berani dalam mencapai kemampuan sebenar menerusi mesej utama yang diselitkan di dalam karya ini iaitu, “I can get what I want, when I want it, and I don’t care about what you think” yang bermaksud “Aku mampu dapatkan apa yang ku inginkan, bila aku mahukan dan aku tak peduli apa kau fikirkan”.

Madame adalah luahan spontan dirinya

Menurut Sya hasil irama lagu Madame merupakan ciptaan secara spontan apabila dia terlihat seorang gadis di media sosial sebelum diperkenalkan kepada DJ Ziqq.

“Di laman Instagram saya ternampak seorang gadis memakai rias kuku ala Perancis dengan hujung keemasan. Maka terlahirlah kata-kata ‘gold frenchie’ dan dari situ saya berfikir, bayangkan kalau saya mampu hidup semewah itu dan mempunyai emas di setiap hujung jari secara nyata. 

“Jadi saya tuliskan apa yang saya mahu dan akan miliki satu hari nanti. Tiada rentak. Tiada apa sama sekali. Hanyalah petikan jari sendiri dan tempo di dalam kepala. 

“Saya telah menyimpannya di dalam nota suara saya untuk tempoh yang agak lama, dan saya tahu hanya penerbit tertentu sahaja yang mampu menghidupkan karya ini. Saya bernasib baik, kerana jurusolek saya Bubu perkenalkan saya pada DJ Ziqq. Lantas, saya berjaya menyiapkan lagu ini kerana dia” jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun ciptaan lagu ini memakan sedikit masa, namun dia berjaya menghasilkan Madame tanpa sebarang rujukan atas kepercayaan yang diberikan oleh DJ Ziqq.

“Kami menghasilkan rentak lagu ini begitu sahaja. Tiada sampel atau rujukan. Hanya sebuah keyboard dengan melodi tersebut dan terhasillah Madame. 

“Apa yang paling saya suka tentang proses penuh projek ini adalah jumlah usaha dan kepercayaan yang telah DJ Ziqq berikan kepada saya sewaktu bekerjasama.  

“Dia memberi saya kebebasan untuk bereksperimen dan sebab itulah lagu ini menjadi lagu pertama dan bukan yang terakhir terbitan saya sendiri. Ia memakan sedikit masa namun sangat berbaloi. 

“Ikatan yang telah kami bina semasa bekerjasama sangat istimewa buat saya dan ini bermakna akan lebih banyak kolaborasi antara Sya x DJ Ziqq di masa hadapan. Kami sama-sama belajar sambil maju ke depan,” ujarnya.

Lagu Madame ini turut hadir dengan sebuah video muzik yang memberi peluang untuk Sya menampilkan idea kreatif bagi mengabadikan hasil karyanya.

Sya yang baru sahaja menceburi bidang seni ini berharap hasil naskahnya dapat ditunjukkan kepada orang ramai bahawa dirinya bersungguh untuk kekal lama dalam industri muzik.

Madame akan dilancarkan di semua platform digital bermula hari ini dan video lirik rasmi bakal di siarkan di laman YouTube saluran Sya VEVO pada pukul 9 malam.

Manakala video muzik rasmi bakal disiarkan pada 10 Disember jam 9 malam.