KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa supaya mengkaji segera seluruh rantaian makanan daripada peladang, pengedar, pemborong dan peruncit.

Pada masa sama, kementerian berkenaan perlu mencari punca di mana berlaku kenaikan harga barang sehingga membebankan rakyat ketika ini.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, ada sesuatu yang berlaku dalam rantaian makanan kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan atas kenaikan harga.

Kata beliau, isu harga barang terutama makanan asas telah menyebabkan rakyat terhimpit dengan bebanan sekali gus menyebabkan kos sara hidup meningkat.

Menurut Norshida, harga barangan makanan meningkat berpunca akibat harga komoditi di pasaran antarabangsa yang sukar dikawal ditambah pula pengeluaran tidak seimbang dengan permintaan dalam negara.

“Apa juga masalah diketengahkan, kerajaan perlu memandang serius terhadap kerisauan rakyat mengenai isu kenaikan harga barang yang mendadak di kala negara masih lagi bertarung menentang COVID-19.

“Wanita UMNO menyeru agar penguatkuasa KPDNHEP segera turun ke lapangan memantau harga supaya tidak dimanipulasi oleh peniaga dan peruncit khususnya senarai kawalan siling bagi barangan keperluan serta-merta dan berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: Jualan #KeluargaMalaysia di semua Parlimen esok – PM

Mengulas lanjut, Norshida turut menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta agensi di bawahnya lebih proaktif dalam membantu petani.

Hal ini kerana kerajaan telah melabur bajet besar dan perlu juga membantu memerangi orang tengah yang cuba mengaut untung berlebihan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu memperkasa penggunaan teknologi dan intervensi dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meningkatkan hasil dan produktiviti.

“Kerajaan perlu fokus memerangi isu kenaikan harga barang terutama barangan keperluan kerana ia satu bebanan dan tamparan kepada rakyat di kala kita masih bertarung memulihkan kembali ekonomi,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram