Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil kesempatan berkunjung ke gerai peniaga dan penjaja kecil selepas merasmikan majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran program Transformasi Pasar Malam, hari ini.

KERAJAAN akan memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat mulai tahun hadapan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran program Transformasi Pasar Malam, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, program transformasi itu akan dilaksanakan di 50 tapak pasar malam utama seluruh negara.

Kata beliau, program Transformasi Pasar Malam yang diusahakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu.

Perdana Menteri memaklumkan, ia mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘marshal pasar malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi domestik kembali rancak termasuk yang diusahakan oleh rakyat kumpulan penjaja dan peniaga kecil, kita harus juga beri perhatian bahawa suasana kini telah berubah.

“Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan transformasi tersebut di seluruh negara.

“Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil kesempatan ‘menarik’ teh tarik selepas merasmikan majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran program Transformasi Pasar Malam, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Moratorium kelulusan baharu tubuh ladang hutan HSK – PM

Pada masa sama, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 seperti yang dipohon Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM).

Beliau berkata, persatuan penjaja amat dekat di hatinya memandangkan beliau merupakan menteri bertanggungjawab ketika pertama kali persatuan penjaja dan peniaga kecil diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dahulu.

Malah, beliau merupakan menteri pertama yang merasmikan sambutan HPPK pertama pada tahun 2012.

“Saya dengan ini bersetuju untuk meluluskan peruntukan RM100,000 kepada persatuan penjaja seperti yang dipohon.

“Saya ingat nak mohon banyak lagi (sebab) saya nak lulus lagi. Insya-Allah, kalau ada keperluan tambahan, kita akan bagi lagi.

“Seperti yang saya kata tadi, persatuan penjaja ini ibarat anak saya kerana saya bapa yang pertama dahulu, walaupun dah ada bapa baharu tetapi bapa lama tak lupa anak dia.

“Insya-Allah saya akan terus membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram