Pernahkah anda dengar kisah sebuah air terjun yang menyimpang daripada hukum fizik semula jadi kerana tiada anak sungai yang mengalir di bawahnya?

Begitulah keajaiban alam sebuah air terjun di Jerantut, Pahang sehingga lata tersebut digelar sebagai ‘Lost Waterfall’. Lokasi terletaknya air terjun ini secara tepat ialah di Ulu Salan, iaitu di dalam kawasan Taman Negara.

Wartawan kami dahulu pernah menjejakkan kaki ke sini dan melihat keajaiban air terjun ini. Bagaikan suatu misteri, air terjun yang mencurah-curah itu ghaib diserap bumi. Aliran air terjun yang berketinggian kira-kira 70 meter itu hilang entah ke mana.

Lost Waterfall, ajaibnya air terjun ini apabila air yang mencecah bumi hilang entah ke mana.

Tidak diketahui ke mana air terjun yang jatuh itu mengalir. Agak aneh kerana tiada anak sungai yang wujud bagi membawa air tersebut masuk ke Sungai Salan yang terletak kira-kira 200 meter darinya. Waima anak sungai kecil sekalipun tidak terbentuk, walaupun kuantiti air yang jatuh itu agak besar.

Tempat jatuhnya air terjun itu diliputi oleh batu hampar yang boleh dipijak tanpa sebarang masalah. Air itu kemudiannya hilang dengan sendirinya sebaik sahaja ia mencecah tanah.

Tidak dapat dipastikan ke mana air terjun ini mengalir setelah mencecah tanah.

Untuk sampai ke lokasi air terjun itu, tiada laluan berkereta kecuali trek meredah hutan yang memerlukan masa antara tiga hingga empat jam, bergantung pada kepantasan berjalan.

Menurut Pengarah Urusan Middle Earth yang membawa kami dahulu, tidak ramai pengunjung yang pernah menjejaki air terjun ini. Mungkin juga kerana lokasinya yang terpencil dan perlu melalui rintangan yang mencabar untuk sampai ke sana, termasuk merentasi lima kali Sungai Salan yang berarus deras.

Dikatakan ketika zaman pendudukan Jepun, sebuah empangan dibina di Sungai Salan sebagai bekalan air minuman untuk tentera mereka. Empangan ini dikawal ketat dan sesiapa yang menceroboh kawasan itu akan dikenakan hukuman pancung.

Disebabkan itu, penduduk kampung terlalu takut dan tidak berani memasuki kawasan sungai ini. Ketakutan itu terus berlarutan walaupun tentera Jepun telah lama menyerah kalah, menyebabkan air terjun itu seolah-olah ‘hilang’ daripada ingatan penduduk sekitar yang semakin melupakannya. Disebabkan itulah tidak ramai yang tahu tentang keunikan air terjun ini.

Sungai Salan.

Selain itu, Lost Waterfall juga dikenali dengan nama Lata Manik oleh penduduk tempatan. Ini kerana, ketika matahari tegak di atas kepala, percikan atau tempias air terjun yang menghempas batu kelihatan seperti butiran manik yang halus.

Sehingga ke hari ini, misteri air terjun ini masih belum terungkai sepenuhnya kerana tiada kajian lanjut pernah dilakukan oleh para pengkaji.

Jika berdasarkan teori, fenomena misteri itu boleh berlaku disebabkan dua faktor iaitu profil tanah dan perubahan bentuk muka bumi.

Berkemungkinan tanah di sekitar lata itu terdiri daripada jenis tanah berpasir yang mudah menyerap air. Ia akan menyebabkan kadar serapan lebih tinggi daripada kadar aliran air. Mungkin disebabkan itu, air terjun tersebut hilang kerana diserap oleh tanah. Berbeza dengan sungai biasa di mana kadar aliran lebih tinggi daripada kadar serapan kerana terdapat tanah liat atau tanah batu kapur di bawah aliran sungai yang mampu menampung air.

Selain faktor tanah, perubahan bentuk muka bumi juga memungkinkan perkara seperti ini berlaku. Boleh jadi ada anak sungai yang mengalir, tetapi ia tidak dapat dilihat kerana ditimbus oleh batu atau tanah. Dengan kata lain, terdapat anak sungai di dalam tanah yang membawa air tersebut ke tempat lain.

Lost Waterfall.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare