PENYANYI, Datuk Nora Ariffin, 48, sah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi Ramli,55, yang juga rakan baik kepada Allahyarham suaminya, Johan Nawawi.

Penyanyi Hanya Satu berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan keduanya ini, sebaliknya sekadar melaksanakan perkara wajib mengikut tuntutan agama saja.

“Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi saya memang berniat untuk tidak menghebahkan ikatan ini. Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.

“Saya berpegang kepada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan. Bukan kerana ingin bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari publisiti.

“Sempena malam Jumaat yang juga Sayyidul Ayyam, saya dengan rendah diri dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan sudah bertemu jodoh dengan hamba Allah yang juga sahabat baik arwah Johan sejak kecil lagi.

“Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang sudah ditentukan. Saya menerimanya dengan penuh sabar, reda dan syukur. Hanya kebaikan yang saya harapkan. Saya juga memohon supaya semua insan yang saya kenali dan peminat untuk mendoakan saya mendapat keluarga sakinah mawaddah warahmah, dipermudahkan urusan, diberkati, diredai Allah SWT dunia dan akhirat. Insya-Allah,” katanya.

Nora berkahwin dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqah & Usul di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Nora turut menzahirkan rasa berterima kasih kepada anak-anak dan menantunya serta semua pihak yang mendoakan, memberi semangat, sokongan dan nasihat kepadanya.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Nora mendirikan rumah tangga dengan komposer Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Walau bagaimanapun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. 

Pada 13 Disember 2019 pula Nora diduga dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang berusia 20 tahun.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram