Pandemik Covid 19 yang masih mencatatkan statistik yang tinggi tidak menghalang lebih 200 kanak-kanak berumur seawal usia 2 sehingga  6 tahun  dari seluruh Malaysia menyertai Sambutan Hari Kanak-kanak 2021 yang dianjurkan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Proram yang dijalankan secara maya sepanjang Oktober dan November itu mempertandingkan pelbagai acara seperti Kids Virtual Run, Kids Talent Show, Brilliant Art, Kids Masterchef dan lain – lain lagi.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, program itu adalah selari dengan Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan 2021 bertemakan “Anak Kita Masa Depan Kita” dan bertepatan dengan hasrat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kerana kanak-kanak merupakan asas kepada kejayaan sesebuah negara.

“Impak norma baharu dalam kehidupan juga memberi kesan kepada kanak-kanak.  Justeru sambutan kali ini dapat mengcungkil potensi anak-anak seterusnya menjadikan mereka lebih kreatif dan yakin melalui bimbingan dan sokongan daripada ibu bapa serta guru-guru”.

“Melalui sambutan ini juga peranan NCDRC, UPSI sebagai sebuah pusat rujukan kebangsaan yang berfokus kepada asuhan, dan didikan kanak-kanak dapat diperluaskan. Hubungan berkualiti antara anak-anak dan ibu bapa serta kerjasama antara guru-guru dapat diperkukuhkan,” katanya pada majlis perasmian penutup yang disiarkan secara langsung di facebook rasmi NCDRC.

Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa

Sementara itu, Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa turut menyatakan bahawa asuhan, didikan dan pertumbuhan kanak-kanak seharusnya dikembangkan dengan pelbagai pendekatan.

“Tidak kira sama ada secara fizikal mahupun digital, pencapaian pendidikan dan sahsiah kanak-kanak perlu digilap tanpa mengira situasi. Selain itu, program secara maya ini juga dapat menggalakkan kanak-kanak untuk lebih terkehadapan dan peka terhadap literasi digital.

“Program sebegini juga mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati apabila segenap lapisan masyarakatnya mempamerkan nilai prihatin, kasih sayang dan memberi sokongan untuk perkembangan kanak-kanak dalam aktiviti yang diadakan,” ujarnya.