manusia bangkit dengan air

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, asal manusia adalah dari air mani yang keluar menerusi tulang sulbi lelaki sebagaimana firman Allah, “Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim). Yang keluar dari ‘tulang sulbi’ lelaki dan ‘tulang dada’ perempuan” (Al-Tariq:6-7).

Namun di akhirat kelak, seperti yang kita semua maklum, kesemua makhluk akan mati semuanya sebelum dibangkitkan semula. Tetapi apa yang istimewanya, cara manusia dibangkitkan di akhirat kelak ialah juga dengan air.

Dijelaskan dalam sunnah cara dibangkitkan manusia iaitu Allah S.W.T. menurunkan air ke bumi maka hiduplah ahli kubur. Ia sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah .s.a.w. bersabda,

“Di antara dua tiupan sangkalala sangkalala itu empat puluh. Mereka bertanya, “Wahai Abu Hurairah! Empat puluh hari?” Abu Hurairah berkata,

Aku enggan menjawab.” Mereka bertanya, “Wahai Abu Hurairah! Empat puluh bulan?” Abu Hurairah berkata, “Aku enggan jawab.”

Mereka bertanya, “Wahai Abu Hurairah! Empat puluh tahun?” Abu Hurairah berkata, “Aku enggan menjawab.” Kemudian Allah menurunkan air dari langit lalu menumbuhkan seperti tumbuhan tanaman. Dia berkata, “Tiada seorang pun yang hancur kecuali satu tulang iaitu tulang ekor. Dari situlah manusia disusun pada hari kiamat.”

Hadis di atas menunjukkan bahawa ahli kubur mendiami kubur-kubur mereka selama empat puluh di antara dua tiupan. Tiupan pertama adalah tiupan yang mematikan dan tiupan yang kedua adalah tiupan membangkitkan. Perawi juga tidak menetapkan apakah empat puluh itu sama ada hari, bulan atau tahun.

Di dalam hadis berkenaan juga Allah berkehendak membangkitkan makhluk-makhluk Dia dengan menurunkan hujan, sebahagian riwayat memberitahu air hujan yang turun itu seperti air mani lelaki. Maka ahli kubur akan dibangkitkan selepas jasad-jasad mereka dihancurkan kecuali ajbur zanab (tulang sulbi/ tulang ekor).

Kekuasaan Allah sangat jelas. Dia menjadikan manusia dengan air dari tulang sulbi, dan kemudian mematikannya ketika kiamat. Tetapi jasad manusia akan dibangkitkan kembali selepas kiamat seumpama asal kejadian dia, iaitu dengan turunnya hujan yang menitis air seperti air mani lelaki.

Aura positif

Mengenai firman Allah dalam surah al Anbiya’: 30 “Dan Kami jadikan dari air segala sesuatu yang hidup, mengapakah mereka tiada juga beriman?” Ada persoalan lain yang mentakwil apakah ‘benda hidup’ itu juga terdiri daripada syaitan?

Maka menjawab persoalan itu, tidak sama sekali kejadian syaitan asalnya dari air. Kerana jelas dalam al-Quran Allah menerangkan asal kejadian syaitan dan iblis adalah daripada api, bukannya air dan langsung tidak ada kaitan dengan ayat Quran di atas. Antara ayat Quran yang ada menyebut kejadian iblis dan syaitan ialah:

“Aku lebih baik daripada Adam, Engkau jadikan aku daripada api sedangkan dia engkau jadikan dari tanah” (al-A’raf:12)

Mana mungkin syaitan diperbuat dari air kerana sifatnya dengan sifat air sangat berbeza. Air sifatnya menenangkan, positif dan menghiburkan sesiapa sahaja tetapi syaitan adalah sebaliknya. Lihat sahaja pada contoh, suami pulang dari bekerja, cukup hanya isteri sediakan air kosong buat sang suami, pasti akan tersenyum lebar arjuna di sudut rumah.

Tidak perlu untuk bersusah payah membuat nasi ayam dan sebagainya, cukup dengan segelas air, sudah hilang segala kepenatan sang suami seharian mencari rezeki untuk keluarga.

Begitu juga dengan orang yang marah, berikan segelas air, pasti reda akan kemarahannya. Air itu mempunyai satu aura positif yang sangat luar biasa. Malah Islam juga mengajar penganutnya agar sentiasa dalam wudhuk jika ingin terpelihara dari godaan syaitan.

Malah ketika terasa seperti sedang dikawal hawa nafsu yang dorongannya dari syaitan, kita semua dinasihatkan cepat-cepat mengambil wudhuk dan lakukan solat. Wudhuk itu sendiri dari air dan mana mungkin syaitan juga dari air. Tetapi sifat angkuh,sombong, jahat, kejam, zalim yang mewakili sifat syaitan itu sesuai dengan asalnya dari api.

Syaitan tidak dijadikan dari air namun dengan air, syaitan boleh ditundukkan

Mustafa Mahmud dalam kitabnya yang bertajuk ‘al-Ruh wa al-jasad’ dalam bab ‘Perbincangan tentang air’ ada menyebut air merupakan kemuliaan paling tinggi apabila disebut  secara beriringan dangan Arasy Ilahi. kita juga tahu seluruh kehidupan ini bermula dari titisan air, dan jelasnya, air merupakan sebaik-baik penciptaan Allah kepada semua makhluk.

Adakah kita mengetahui bahawa di dalam satu titisan air itu terdapat satu umat, satu bangsa, dan satu kabilah dengan berjuta-juta penciptaan yang tidak mampu dilihat mata kasar.

Adakah kita juga mengetahui di dalam juzuk-juzuk air yang ringkas ini terdapat satu mukjizat yang menundukkan ilmu kimia, fizik dan geologi. Ia telah dibebaskan oleh mereka yang mengerti dan bijak.

Dan adakah kita sedar bahawa juzuk air itu mampu melemahkan tenaga, merosakkan kehidupan, memecahkan batu, mengenepikan daratan dan menyusun cuaca. Permata cair ini yang berlari di tengkuk orang yang dahaga itu adalah jauh lebih manis daripada madu dan disingkap rahsianya oleh mereka yang berakal. Wallahu a’lam

___________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesye