BEBERAPA tahun lalu, ahli arkeologi menemui artifak yang berupa alat permainan zaman prasejarah yang jarang-jarang sekali dilaporkan. Ia ditemui di sebuah lokasi terpencil di selatan Siberia, Rusia.

Usia artifak itu dianggarkan lebih 4,500 tahun dan ia alat mainan paling tua pernah ditemui. Permainan tersebut dijumpai di kawasan perkuburan Itkol II di Khakassia. Ia ditemui ketika kerja-kerja ekskavasi dijalankan dan saintis tanpa sengaja menemukan lapan jenis boneka berusia 4,500 tahun di dalam kubur seorang kanak-kanak purba.

Ketika ditemui, kesemua anak patung itu terletak betul-betul di atas dada rangka kanak-kanak purba tersebut. Diyakini ia adalah sejenis permainan yang paling disayangi oleh kanak-kanak prasejarah itu.

Saintis menemukan lapan patung prasejarah di dada rangka seorang kanak-kanak purba di Rusia,

Setiap mainan purba itu hanya memiliki bahagian kepala sahaja – tanpa badan, tangan mahupun kaki. Saiznya kecil sahaja iaitu kira-kira lapan sentimeter panjang dan masing-masing dibentuk dengan pelbagai rupa. Ada yang diukir menyerupai muka manusia, manakala sebahagiannya pula berwajah haiwan seperti burung, rusa dan khinzir.

Dr. Andrey Polyakov, seorang ahli arkeologi dari Institute of History of Material Culture di St. Petersburg di Rusia berkata, artifak-artifak itu diukir menggunakan bahan asas yang terpilih dan berbeza-beza mengikut jenisnya.

Sebagai contoh, boneka berwajah manusia didapati terbuat dari batuan lembut dipanggil soapstone. Salah satu daripada koleksi mainan tersebut turut diperbuat daripada tanduk haiwan. Manakala selebihnya diukir menggunakan bahan organik yang tidak tahan lama.

Wajah pada patung ini dipercayai haiwan mitos, iaitu figura rekaan yang dianggap benar-benar wujud oleh manusia pada zaman dahulu.

Penelitian beliau mendapati setiap permainan itu telah dibentuk dan diukir dengan teliti hingga berjaya menampakkan rupa haiwan dan manusia seperti alis lebat, mata berbentuk badam, mulut dengan bibir tebal serta ekspresi wajah yang garang. Di bahagian belakang patung pula terdapat garis-garis halus yang kelihatan seperti sisik ikan.

Ujar Dr. Polyakov, beliau tidak menafikan bahawa ada kemungkinan wajah-wajah haiwan pada anak patung itu terkait dengan haiwan mitos, iaitu figura rekaan yang dianggap benar-benar wujud oleh manusia terdahulu. Dan mainan kanak-kanak itu diduga berfungsi sebagai alat pelindung atau penangkis roh-roh jahat.

Penemuan artifak seumpama itu bukanlah pertama kali dilaporkan. Sebelum ini, seorang nelayan bernama Nikolay Taraso turut mendakwa menemukan sejenis mainan yang sama ketika sedang menangkap ikan di Sungai Dudet, Siberia, pada bulan September 2016. Akan tetapi, beliau membuangnya kembali ke sungai kerana menduga ia sampah.

Bagaimanapun kata Taraso, dia mengambilnya semula selepas melihat wajah seperti manusia terukir pada objek tersebut. Setelah dibasuh bersih-bersih, barulah dia menyedari bahawa objek tersebut berupa patung dengan bentuk yang luar biasa.

Beginilah antara patung permainan kanak-kanak zaman purba dahulu.

Penelitian yang dijalankan oleh Dr. Polyakov ke atas artifak itu berjaya mengungkap sesuatu yang tidak diketahui sebelum ini. Ternyata, patung tertua yang ditemukan di atas dada seorang kanak-kanak purba itu berasal dari zaman prasejarah, tetapi ia bukan permainan golongan atasan. Perkara itu diyakini kerana kajian di perkuburan elit sebelum ini tidak pernah merekodkan penemuan objek serupa.

Bersandarkan fakta itu, Dr. Polyakov percaya patung prasejarah itu hanya popular dalam kalangan anak-anak golongan biasa. Dan disebabkan ia dijumpai di tapak perkuburan di wilayah Khakassia, para pengkaji bersepakat bahawa kuburan serta objek berkenaan merupakan kepunyaan orang-orang Okunev.

Sejarah mencatatkan bahawa kebudayaan Okunev dahulunya pernah menetap di selatan Siberia sepanjang Zaman Gangsa atau Zaman Perunggu iaitu berlangsung sekitar 2,000 Sebelum Masihi (SM) hingga 800 SM. Menternak, berburu dan memancing merupakan kemahiran mereka.

Kumpulan berpengaruh ini turut dipercayai pernah memiliki hubungan genetik dengan penduduk asli Amerika. Menurut ahli sejarah, nenek moyang penduduk Amerika ialah orang-orang Okunev. Koloni ini dikatakan telah menggunakan bot-bot primitif untuk menjelajah jambatan darat Bering yang diliputi ais kira-kira 12,600 tahun dahulu.

Jambatan darat Bering adalah merujuk kepada sebatang jambatan darat yang berukuran kira-kira 1,600 kilometer (km) dari utara ke selatan. Titian ini pernah menyambungkan Alaska dan Siberia timur ketika zaman ais Pleistosen. Manakala, The Okunev Steles iaitu batu antropomorfisme dengan tinggi beberapa meter merupakan monumen paling terkenal dikaitkan dengan budaya ini.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare