SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan baru-baru ini. - GAMBAR: FB FAM

TEPAT pukul 5.30 petang ini, skuad Harimau Malaya bakal membuka tirai perjuangan dalam kempen Piala Suzuki AFF 2020 menentang Kemboja di Stadium Bishan, Singapura.

Pentas Piala Suzuki AFF ini tentunya menjadi medan terbaik bagi skuad kebangsaan mencari semula ‘hak eksklusif’ sebagai ‘Raja Asia Tenggara’ selepas pertama kali menjulang piala itu pada tahun 2010.

Edisi ke-13 tahun ini sepatutnya diadakan tahun lalu tetapi terpaksa ditunda dua kali ekoran penularan COVID-19.

Diletakkan dalam Kumpulan B, cabaran terbesar Malaysia sebenarnya adalah pada perlawanan ketiga dan keempat iaitu menentang musuh tradisi, Indonesia serta juara dua kali, Vietnam.

Biar pun dikatakan bukan ‘kumpulan maut’ seperti dalam Kumpulan A yang memperlihatkan Thailand, Myanmar, Filipina dan Singapura, namun Harimau Malaya tidak boleh memandang rendah pasukan-pasukan lain.

Membawa hanya 24 pemain dalam kempen kali ini, skuad Harimau Malaya dilihat tidak seimbang di beberapa posisi.

Kerisauan terbesar peminat bola sepak negara tentunya di bahagian tengah apabila hanya dua pemain iaitu Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal menerima panggilan kali ini.

Tanpa Nor Azam Azih, Nazmi Faiz Mansor, Brendan Gan mahu pun Afiq Fazail, Malaysia dilihat terlampau mengharapkan cetusan idea daripada Baddrol untuk merencana gerakan dari tengah.

Satu lagi posisi yang mencetuskan perdebatan tentunya di bahagian bek kiri apabila Tan Cheng Hoe mengetepikan Corbin Ong dan Daniel Ting yang cemerlang bersama Kuala Lumpur (KL) City FC musim ini.

Baca artikel berkaitan: Piala AFF: Khairulazhan dan Mohd Faisal positif COVID-19

Walaupun Arif Fadzilah atau Ariff Farhan Isa boleh mengisi kekosongan itu, namun kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa mungkin agak membataskan.

Lebih membimbangkan, berita dua tonggak utama iaitu Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim yang dijangkiti COVID-19 dilihat boleh merencatkan sedikit perancangan Tan Cheng Hoe.

Ketiadaan pemain warisan, Dion Cools yang hanya akan bersama skuad negara menjelang pertemuan terakhir kumpulan menentang Indonesia juga agak menggusarkan.

Namun, sinar tetap bergemerlapan terutama dengan kehadiran pada saat akhir Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tahun ini, Arif Aiman Hanapi yang sudah tentu amat dinantikan peminat negara.

Khidmat pemain muda lain termasuk Quentin Cheng, Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim Shamsudin juga amat ditagih bagi memperoleh kemenangan.

Ramai juga mahu melihat semula sentuhan berbisa Safawi Rasid yang ketika ini tidak berada pada tahap terbaik selepas sembuh daripada kecederaan.

Paling mencuri perhatian, kepercayaan besar Cheng Hoe terhadap Guilherme de Paula yang dikritik hebat ketika Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 Jun lalu sudah tentu mahu dibalas dengan sebaiknya.

Dengan barisan pemain yang telah dipilih, Cheng Hoe sudah tentu mempunyai ramuan terbaik membawa kebanggaan kepada seluruh negara.

Dua perlawanan awal menentang Kemboja dan Laos disifatkan ‘wajib’ menang sebelum melangkah bertemu Vietnam serta Indonesia.

Misi lolos ke separuh akhir bukanlah mustahil, malah cubaan mencipta kejutan memenangi kejuaraan ini juga bukanlah sasaran ‘melangit’.

Semoga Harimau Malaya mampu mengaum megah di bumi Singa! #DemiMalaysia

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram