Datin Seri Rosmah Mansor . GAMBAR: Abd Razak Aid

DATIN Seri Rosmah Mansor gagal dalam permohonan untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion di Sarawak yang dihadapinya serta menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim hari ini yang diketuai hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hanipah Farikullah yang membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap rayuan Rosmah.

Hakim Hanipah, dalam keputusan sebulat suara berkata panel hakim itu bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa Mahkamah Jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan pelepasan pengisytiharan yang dipohon Rosmah selaku perayu.

“Kami berpandangan bahawa pelepasan itu mesti termasuk dalam perkara yang dibenarkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Bagaimanapun, tiada sebarang peruntukan di dalam CPC yang memberikan kuasa dan bidang kuasa kepada Mahkamah Tinggi melaksanakan prosedur jenayahnya untuk memberikan perintah pengisytiharan.

“Berdasarkan alasan itu, kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi dalam menjalankan prosedur jenayah tidak mempunyai bidang kuasa dan kuasa untuk memberikan pengisytiharan yang dipohon perayu.

“Oleh itu, kami membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan dan rayuan perayu ditolak,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah tidak boleh meneruskan untuk mendengar merit rayuan itu.

Dua hakim lain dalam panel itu ialah Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Panel hakim itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan Sri Ram dan peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah yang mengenakan baju kurung putih dan merah jambu.

Sebelum perbicaraan bermula, Jagjit memohon maaf bagi pihak Rosmah kepada mahkamah kerana tidak hadir di mahkamah pada prosiding Khamis lepas.

“(Kami) mewakili perayu menzahirkan permohonan maaf kepada Yang Ariff atas ketidakhadiranya pada prosiding minggu lepas. Beliau dengan ikhlas hati memohon maaf,” kata peguam itu.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Sept lepa yang menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan beliau dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan dan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

Rosmah menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh RM1.25 bilion projek untuk melengkapkan 369 sekolah di luar bandar Sarawak dengan tenaga solar hibrid.

Pada 4 Okt, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan rasuahnya sementara menunggu keputusan rayuan.

Susulan keputusan itu, Rosmah, 69, memberi keterangan sebagai saksi pembelaan semasa perbicaraan yang diadakan di Mahkamah Tinggi pada 5 Okt lepas. Perbicaraan dijadual disambung pada 8 Dis. – BERNAMA