BIARPUN masih baharu dalam industri muzik tempatan, penyanyi Shalma Eliana sentiasa mencuri perhatian dengan imejnya yang menarik serta gaya muziknya yang luar biasa.

Mempertaruhkan bunyi yang lebih segar untuk dunia muzik tanah air dan serantau, dia kembali dengan sebuah lagi karya berjudul Your Loss. Lagu ini juga memberi peluang untuk dirinya menjenamakan semula nama pentasnya sebagai Yana.

“Saya anggap Your Loss sebagai permulaan kerjaya saya. Permulaan yang baharu kerana lagu ini ditulis sepenuhnya oleh saya sendiri. Saya tidak pernah yakin untuk berkongsi karya nukilan sendiri dengan pihak umum sebelum ini.

“Lagipun, lagu ini ditulis di tempat yang paling murni dan tulen iaitu di rumah saya sendiri. Dan di rumah semua orang memanggil saya Yana. Oleh kerana itu Yana adalah diri saya yang sejati. Sebab itu saya memilih nama Yana,” katanya.

Lagu ini menceritakan tentang sesuatu yang dapat difahami oleh ramai orang kerana memberi fokus kepada tema pengkhianatan.

Ia juga mengingatkan semua pendengar bahawa pengkhianatan tidak seharusnya menjadi punca kegagalan seseorang dan kita tidak harus rasa rugi jika ada yang gagal menghargai diri kita.

Karya ini turut mengingatkan semua orang untuk menjadi versi terbaik diri masing-masing dan kehidupan ini sebenarnya adalah satu proses pembelajaran.

Berbeza dengan karya-karyanya sebelum ini yang lebih menjurus kepada irama rancak dan tarian, Your Loss adalah sebuah balada pop yang sarat dengan mainan emosi.

“Alhamdulillah, proses menulis lagu ini berjalan dengan lancar. Saya masih ingat saat saya pulang ke rumah dengan pelbagai emosi dan terus menulis lagu ini, kemudian menyanyikannya dengan serta-merta. Ada beberapa bait lirik yang saya tulis sewaktu pergi berkhemah. Ia lagu yang tak dijangka. Terjadi begitu sahaja,” ujarnya.

Tambah Yana, dia mengambil masa untuk merakamkan lagu ini dan dibantu oleh Izzy, Shae serta Imar sepanjang proses. Walaupun ini kali pertama bekerja dengan mereka, dia benar-benar menikmati proses tersebut.

“Kami semua mempunyai visi yang sama sewaktu fasa perancangan, dan segalanya tersusun dengan baik. Semua orang tahu apa yang saya mahukan.

“Secara keseluruhan, sangat senang untuk bekerja dengan mereka yang komited dan memahami diri kita,” tambahnya lagi.

Lagu ini juga bakal menampilkan sebuah klip video yang akan diumumkan tidak lama lagi. Proses rakamannya berjalan dengan sangat lancar.

“Proses rakaman video mengambil masa sehari. Kami bermula pada jam 7 pagi dan selesai jam 12 tengah malam. Ia ada semua yang kami rancangkan dan saya rasa ia sangat luar biasa apabila diberi peluang meluahkan perasaan melalui lagu ini.

“Saya sangat berharap para pendengar akan menyukai lagu ini dan mampu memahaminya seperti mana saya mengertikannya. Ia dihasilkan dengan tulus dan merupakan lagu paling murni pernah saya hasilkan.

“Saya memberanikan diri untuk berkongsi karya pertama dengan dunia. Saya harap tiada lagi yang keseorangan selepas mendengar lagu ini,” ulasnya mengakhiri bicara.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram