wang tidak patuh syariah
Sekadar gambar hiasan

Islam melarang keras umatnya bermuamalah dengan cara yang tidak diredai. Dalam surah al-Baqarah: 188, Allah telah memberi amaran keras kepada orang yang memakan harta dengan cara yang zalim sebagaimana firman Nya,

Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa sedang kamu mengetahui.”  

Malahan Allah juga melarang keras kepada umat Islam yang menjalankan urusan dengan berunsurkan riba. Mafhum Nya dalam surah al-Baqarah: 275 menyebutkan,

“Sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”

Dari dua ayat al-Quran yang disebutkan ini jelas pengambilan atau penghasilan harta melalui jalan-jalan yang batil adalah sangat-sangat dilarang keras. Tujuannya tidak lain agar umat Islam akan terus hidup dengan jalan muamalat dan prinsip khusus yang telah digariskan oleh Islam.

Menurut Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghanayim, Profesor Kuliyyah Syariah, Universiti Kaherah, wang atau harta tidak patuh syariah adalah harta haram yang diperoleh melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya. Atau juga terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah S.W.T.

Pandangan Imam as-Syafie pula menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan) rasuah, perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan sebagainya).

Bagi kebanyakan fuqaha’ mutakhir pula mentakrifkan harta tidak patuh syariah adalah harta yang dimiliki dan diperoleh melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan sebagainya.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat itu menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah), perjudian dan pertaruhan, pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan, insurans konvensional, aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah, pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan, pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah dan aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.

Dalam hal ini, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa sesuatu yang haram tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan antaranya membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.

Bahkan wang-wang faedah yang diperoleh secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional. Ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Wang yang dijumpai tanpa ketahui warisnya boleh diserahkan kepada Baitulmal

Bahkan beliau juga melarang menggunakan wang tersebut kerana tindakan itu termasuk dalam kategori memakan harta yang diperoleh melalui jalan kezaliman. Apatah lagi dimanfaatkan untuk makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009 telah menyatakan,

“Setelah meneliti keterangan dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperoleh dengan cara yang tidak mematuhi syarak seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui seperti diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya. Selain itu boleh diserahkan kepada golongan fakir miskin, dan yang memerlukan.

Adapun jika harta tersebut merupakan harta curi dan sebagainya, maka ia perlu diserahkan kepada pemiliknya. Jika pemiliknya meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, harta tersebut mestilah dikembalikan kepada warisnya. Jika tidak ditemui pemilik atau ahli waris pemilik maka harta itu perlu diserahkan kepada Baitulmal.   

Peranan Baitulmal, Majlis Agama Islam

Peranan Baitulmal telah berkembang dari semasa ke semasa dengan penerokaan ke atas sumber-sumber baru. Di Selangor pihak Baitulmal telah mengambil peranan mentadbir harta wasiat, hibah, wang tidak patuh syariah, harta luqatah, wang orang berhutang, nazar, fidyah, kafarah dan khairat.

Malahan Baitulmal juga berpotensi sebagai badan yang boleh menerima ghramah (bayaran ganti rugi bank) wang tidak dituntut, harta pusaka amanah (waris yng hilang, kanak-kanak atau OKU), hasil-hasil agama seperti fi Jabatan Agama Islam dan fi dan denda Mahkamah Syariah, sedekah tabarru’, mengurus al-rahn (pajak gadai Islam), qardul  hasan dan pelbagai jenis pemberian lain.

Dengan peranan yang semakin berkembang ini maka Baitulmal MAIS mengambil peluang mengajak umat Islam untuk sama-sama membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh keberkatan dan sentiasa berlandaskan hukum syarak.

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, Baitulmal menjadi wadah bagi menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.

Sehingga kini terdapat 36 jenis harta Baitulmal yang sedang dilaksanakan oleh Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor secara berperingkat. Ini bermakna semua harta orang Islam dalam negeri Selangor adalah menjadi tanggungjawab kepada Majlis Agama Islam Selangor melalui baitulmal untuk mengurus dan mentadbirnya jika telah ditentukan dan diputuskan oleh undang-undang yang berkaitan.

Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini.

Penyerahan kepada Baitulmal merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:

“Maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.” Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen