MENGAKUI dirinya terkesan apabila melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu, Bob Yusof, 40 tahun, mengakui apa yang sudah dilaluinya merupakan pengalaman dan pelajaran paling berharga sepanjang bergelar anak seni.

Meskipun perit melaluinya, Bob bagaimanapun bersyukur kerana dapat melalui perkara tersebut dengan hati terbuka walaupun ada kalanya ‘sesak’ untuk mencari pendapatan dalam fasa berkenaan.

“Saya percaya ramai yang terkesan dengan apa yang sudah dilalui. Ada yang hilang pekerjaan, mengalami tekanan perasaan dan ada juga rumah tangga bergoncang kerana hilang pendapatan dan sebagainya.

“Tapi saya bersyukur kerana dapat melalui fasa getir berkenaan dan tidak terperangkap dengan emosi sendiri. Harapnya dengan keadaan semasa yang semakin baik sekarang, semua orang mampu membina semula kehidupan yang lebih  baik,” katanya.

Paling diingati apabila dia tidak dapat pulang beraya di kampung halamannya di Limbang, Sarawak sejak dua tahun yang lalu. Baginya itu merupakan pengalaman tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupnya.

Lebih menyentuh hati, apabila tidak dapat menziarahi pusara ibunya dalam tempoh berkenaan.

“Baru-baru ini saya ada pulang ke kampung di Limbang tapi masih tidak dapat ke pusara ibu memandangkan belum dibenarkan menziarahi kerana kawasan tersebut  menjadi pusara untuk mangsa Covid-19.

“Saya memang  sedih tapi reda dengan keadaan tersebut. Tak apalah, saya kirimkan sahaja doa bagi mengubat kerinduan yang tak berpenghujung,” ujarnya.

Mengubat segala kedukaan yang telah dilalui sebelum ini, Bob kini tampil dengan lagu Beribu Rasa. 

Lagu yang sudah berada di semua platform digital dan video muzik (MV) itu boleh ditonton menerusi YouTube Bob Yusof Channel.

Beribu Rasa yang dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Slen Fadzil itu merupakan simbolik kepada dirinya yang berjaya melepasi segala kekalutan setelah mengharungi tempoh sukar sebelum ini.

“Kita tak boleh bersedih dan kena bangkit daripada segala masalah. Saya anggap dengan terhasilnya lagu Beribu Rasa ini akan mengubat rindu peminat dan dalam masa yang sama menjadi semangat kepada saya untuk terus maju dalam bidang seni.

“Sebenarnya tema yang dipilih juga kena dengan situasi semasa. Ada segelintir lelaki putus cinta dan ditinggal kekasih tapi masih juga mahukan orang yang sama. Itu yang diangkat dalam lagu ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Beribu Rasa adalah terbitan Inisiatif Seni Kreatif  (ISK) dan lagu ini  diedarkan oleh Univesal Music.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram