Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

PERMUAFAKATAN dicapai antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi perjanjian kolaborasi komersial (CCA) disifatkan mercu tanda pembangunan industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, CCA yang ditandatangani di Kota Kinabalu hari ini itu akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di Sabah.

Kata beliau, perjanjian yang dimeterai juga akan membolehkan Sabah memainkan peranan lebih besar dalam mengembangkan industri minyak dan kes melalui usaha sama erat dengan Petronas.

Di samping itu, Perdana Menteri berkata, ia juga bakal membuka peluang perniagaan lebih meluas kepada syarikat-syarikat tempatan untuk berkecimpung dalam industri tersebut.

“Pada masa sama, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat petroleum milik negara dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh selaras dengan undang-undang negara.

“Permuafakatan yang berjaya dicapai sesungguhnya melambangkan komitmen kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah bagi memastikan pembangunan yang inklusif agar manfaat pembangunan negara dapat dinikmati bersama secara lebih adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Petronas di Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Residensi Wilayah Keluarga Malaysia sasar sedia 80,000 rumah – Ismail Sabri

Kerajaan Negeri Sabah dan Petronas mengumumkan pemeteraian CCA itu hari ini bagi meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak dalam membangunkan industri berkenaan di Sabah.

CCA yang dimuktamadkan dengan kendalian Kerajaan Persekutuan adalah bukti hubungan yang saling menguntungkan kedua-dua pihak.

Bagi Sabah, objektif perjanjian tersebut adalah untuk meningkatkan lagi hasil negeri berkenaan daripada pengeluaran minyak dan gas dengan meningkatkan penyertaannya dalam industri itu serta rantaian nilainya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022, Jumaat lalu memaklumkan negeri itu bakal mendapat perkongsian hasil lebih besar selain penyertaan dan penguasaan lebih luas dalam sektor minyak dan gas selepas CCA dengan kerajaan Pusat dan Petronas selesai.

Menurut Hajiji, rundingan itu berjaya dimuktamadkan selepas ketiga-tiga pihak mencapai persefahaman dan persetujuan mengenai perkara yang dituntut Sabah, bari-baru ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram