TYKE hanyalah seekor gajah betina. Pada tahun 1973 ketika usianya masih bayi, Tyke telah dicuri dari hutan di Mozambique, Afrika. Terpisah daripada ibunya, Tyke dijual kepada sebuah syarikat, Hawthorn Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Ketika itu, Hawthorn Corporation merupakan salah sebuah pemilik haiwan liar terbesar di Amerika dan pemajak persembahan gajah sarkas di seluruh dunia.

Tyke dilatih untuk menjadi haiwan sarkas, dibawa ke serata tempat untuk membuat persembahan.

Pada 20 Ogos 1994, Tyke yang sepatutnya membuat persembahan sarkas di Circus International Honolulu di Hawaii, tiba-tiba bertindak di luar kawalan. Gajah betina ini dilaporkan mengamuk dengan menendang seorang penjaga sarkas, Dallas Bechwith, saat memasuki pentas pada awal pertunjukan.

Pada mulanya, para penonton menyangka aksi itu cuma gimik dan lakonan yang menjadi sebahagian daripada pertunjukan. Bagaimanapun, anggapan itu ternyata silap.

Tyke benar-benar mengamuk ketika itu. Ia bukan sahaja menendang Bechwith, bahkan turut memijaknya di hadapan ribuan penonton. Bukan itu saja, gajah seberat 3,600 kilogram ini turut membunuh jurulatihnya, Allen Campbell yang ketika itu cuba menyelamatkan Bechwith daripada serangan Tyke.

Tyke mengamuk dengan mencederakan dan membunuh jurulatihnya.

Selepas mencederakan dan membunuh pelatihnya, gajah berusia 20 tahun ini terus berlari keluar, merempuh pagar dan melalui jalan-jalan yang sibuk di kawasan pusat perniagaan Kakaako, Honolulu.

Amukkan Tyke semakin memuncak dengan menyerang seorang jurnalis, Steve Hirano, dan mencederakan siapa sahaja yang cuba menghalang laluannya.

Tidak sampai 30 minit berasa hidup bebas sambil berkeliaran di jalan-jalan yang sibuk dengan orang ramai, polis bertindak nekad dengan menembak Tyke.

Tyke cuba berlari sambil polis melepaskan tembakan ke arahnya.

Saat dibedil berulang kali, gajah malang ini dilihat masih cuba bertahan untuk tidak rebah. Bagaimanapun, ia tersungkur juga selepas polis melepaskan 87 das tembakan ke arahnya. Tyke akhirnya disahkan mati akibat mengalami pendarahan otak dan kecederaan teruk pada saraf.

Dalam sebuah dokumentari, Circus Elephant Rampage, terbitan BBC mendedahkan bahawa amukkan Tyke bukanlah baru pertama kali. Sebelum ini, pada 22 April 1993, gajah berkenaan pernah melarikan diri semasa persembahan di Altoona, Pennsylvania.

Dalam pertunjukan itu, ia telah menyerang seorang jurulatih harimau menyebabkan kerosakan yang dianggarkan melebihi USD14,000.

Tidak lama selepas insiden tersebut, pada 23 Julai 1993, Tyke dilaporkan mengamuk lagi di North Dakota State Fair di Minot, Dakota. Ia dikatakan telah memijak dan mencederakan seorang pengendali sehingga mencetuskan ketakutan kepada orang ramai.

Mengapakah Tyke bertingkah sedemikian?

Tyke akhirnya mati setelah ditembak berulang kali.

Tyrone Taylor, bekas pekerja Hawthorn Corporation memberitahu bahawa sebelum kejadian amuk, Tyke awalnya antara haiwan yang sangat manja dan patuh. Bagaimanapun, beberapa tahun sebelum kematiannya, gajah ini sering sahaja memberontak kerana mengalami tekanan emosi.

Betapa tidak, lebih 20 tahun kebebasannya dinafikan dengan dikurung di dalam sangkar yang sempit. Boleh dikatakan setiap hari Tyke akan diseksa dan dipaksa untuk bekerja sebagai haiwan sarkas dengan melakukan pelbagai trik menerusi latihan disiplin yang tidak masuk akal.

Antara cara brutal untuk mengajar haiwan sarkas ini, ‘mereka’ akan dipukul. Difahamkan, teknik tersebut adalah yang paling sering dilakukan ke atas gajah-gajah yang dikatakan agak malas dan tidak berdisiplin. Dan paling sedih, hukuman itu bukan hanya sekali dua dijalankan, tetapi berkali-kali sehingga haiwan terbabit menjerit dan mengalah kepada pengendali ‘mereka’.

Pengendali haiwan percaya apabila haiwan itu mula takut, ‘mereka’ akan mudah mendengar arahan dan melakukan apa sahaja yang disuruh oleh pelatih.

Selain dipukul, para pengendali gajah biasanya akan mengikatkan rantai bergerigi tajam pada kaki dan memasangkan cangkuk pada hidung haiwan itu, serupa seperti lembu. Cara ini kononnya dapat mengawal gajah-gajah dengan mudah terutama ketika berada di atas pentas. Seksaan ini bukan sahaja dilakukan semasa persembahan, tetapi sebelum pertunjukan lagi.

Kaki diikat, dikurung dan diseksa agar menurut perintah.

Terdapat laporan yang menyatakan, gajah-gajah seperti Tyke akan dipaksa berbaris dan dirantai di bangsal selama 22 jam sehari. Paling tidak berperikemanusiaan, ‘mereka’ bukan sahaja dibiarkan tanpa rehat, malah haiwan ini kerap diseksa menggunakan alat renjatan elektrik dan sejumlah alat lain yang menyakitkan.

Mereka lupa haiwan seperti Tyke bukanlah makhluk tanpa perasaan. Amukan yang berlaku sebelum ini jelas menunjukkan emosinya terganggu dan marah. Sayang sekali, haknya untuk hidup bebas dinafikan dan kisah hidup Tyke berakhir dengan tragis.

Sejak tragedi itu, Honolulu telah mengharamkan sebarang pertunjukan sarkas. 10 tahun kemudian, Hawthorn Corporation didakwa bersalah kerana melanggar Akta Kebajikan Haiwan dan diarahkan melepaskan semua gajah dalam kurungannya. Undang-undang juga telah dibentuk dengan mengharamkan penggunaan haiwan liar untuk pertunjukan sarkas.

Tragedi Tyke telah membawa kepada pengharaman penggunaan haiwan liar dalam pertunjukan sarkas.

Penggubalan undang-undang itu ternyata melegakan dan membantu melindungi haiwan daripada dijadikan bahan sarkas, namun menuntut pengorbanan dengan kematian Tyke.

Setelah lebih 20 tahun hidup dalam kurungan, diseksa untuk dijadikan badut sarkas, Tyke akhirnya berjaya melarikan diri. Tragisnya, gajah malang itu hanya mampu mengecapi kebebasan lebih kurang 30 minit sebelum akhirnya rebah setelah ditembak berkali-kali sehingga mati.

Kematian Tyke telah membuka mata banyak pihak terhadap kekejaman yang dilakukan pada haiwan-haiwan sarkas.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare