surat untuk sungai nil

Pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, baginda telah mengembangkan dakwah Islam, sehingga berjaya membawa kota Mesir menjadi sebahagian dari daulah Islamiah. Lalu Amru al-Asr dilantik menjadi gabenor bagi mengawal selia kota Mesir, berpandukan syariat Islam.

Ketika di bawah pemerintahan Amru al Asr pernah berlaku satu kemarau panjang sehingga menyebabkan air sungai Nil menjadi kering. Keadaan ini cukup meresahkan rakyat terutama para petani, kerana pertanian di Mesir bergantung sepenuhnya kepada air sungai tersebut. Dengan kering air sungai Nil sudah pasti segala hasil tanaman mereka akan layu dan mati.

Menurut salah seorang penduduk di situ, air sungai Nil hanya akan naik kembali sekiranya mereka dapat mengorbankan seorang anak dara untuk dipersembahkan kepada Sungai Nil. Amalan ini telah dilakukan sejak zaman dahulu lagi. Hanya setelah agama Islam diamalkan di Mesir, barulah amalan tersebut dihentikan sehingga menyebabkan sungai Nil menjadi kering.

Lantaran itu, mereka telah mendesak Amru al-Asr supaya melakukan upacara mengorbankan anak dara bagi mengembalikan semula air sungai yang kering. Sebagai seorang gabenor Muslim, sudah tentu perkara ini tidak akan dilakukannya kerana jelas ia bertentangan dengan syariat Islam.

Justeru permasalahan ini memaksa Amru al-Asr segera mengajukannya kepada Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab di Madinah melalui sepucuk surat supaya dapat memberi jalan penyelesaiannya.

Tidak lama kemudian Amru al-Asr menerima balasan surat daripada Umar al-Khattab. Namun isi surat tersebut tidak ditujukan kepadanya, sebaliknya ditujukan kepada sungai Nil. Pelik dengan keadaan ini menyebabkan Amru al-Asr membaca surat tersebut bagi mendapat kesahihannya.

Surat daripada Amirul Mukminin itu berbunyi, “Wahai sungai Nil, jika air yang mengalir di sungai ini adalah di atas kuasamu, maka ketahuilah bahawa kami tidak memerlukan engkau. Tetapi jika engkau mengalir di atas kekuasaan Allah S.W.T. maka kami berdoa kepada-Nya supaya air daripada sungai ini melimpah sehingga lebih daripada cukup.”

Seusai membaca surat itu, Amru al-Asy melemparkannya ke dalam sungai. Dengan izin Allah S.W.T. pada malamnya air sungai Nil naik melimpah sehingga mencecah kedalaman 48 kaki menurut sesetengah riwayat. Semenjak itu, lenyaplah segala amalan khurafat yang dilakukan oleh penduduk Mesir terhadap sungai Nil.        

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen