KANSER payudara merupakan satu ancaman penyakit yang tidak mengenal batasan sama ada miskin, kaya, tua atau muda. Kanser payudara juga berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita.

Jika dahulu, penyakit ini lebih gemar menyerang golongan yang berusia 40 tahun dan ke atas, namun kini remaja berumur seawal 20-an turut berpotensi disahkan menghidap kanser payudara!

Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, satu daripada 19 wanita tempatan mempunyai kebarangkalian menghidap kanser payudara. Ia paling biasa menyerang kaum Cina (1:14 wanita) diikuti India (1:15) dan Melayu (1:24). Meskipun nisbah wanita Melayu yang paling kecil, ironinya, sering kali mereka adalah yang paling lambat didiagnosis.

Antara 40-60 peratus pesakit yang datang berjumpa doktor telah pun melewati tahap 3 atau 4, di mana tidak banyak boleh dilakukan. Semakin lewat kanser dikesan, semakin tipis peluang pesakit untuk sembuh.

Justeru, kesedaran awal mengenai penyakit ini adalah amat penting bagi memastikan anda dapat meneruskan kehidupan yang sihat.

Tiada langkah pencegahan yang spesifik yang boleh diberikan bagi mengelakkan daripada disahkan menghidap kanser payudara. Ini adalah kerana, tiada punca utama yang benar-benar boleh dikenalpasti sebagai penyebab berlakunya kanser ini.

Kanser payudara berlaku apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Jika tidak dikesan dengan lebih awal, ia berupaya menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berhampiran payudara seperti kelenjar, pembuluh darah, salur limfa dan juga nodus limfa.

Pada kebiasaannya, tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau duktus.

Faktor risiko merupakan suatu perkara yang akan menentukan risiko terhadap sesuatu penyakit. Sebagai contoh, saya boleh katakan merokok merupakan faktor risiko kanser paru-paru atau penyakit lemah jantung. Risiko seorang individu terhadap sesuatu penyakit tidak mudah ditentukan kerana pengaruh faktor- faktor risiko berbeza.

Namun begitu, perlu diingatkan risiko seorang individu terhadap kanser payudara tidak boleh ditentukan dengan tepat di mana terdapatnya faktor-faktor lain seperti tabiat pemakanan, paras aktiviti harian dan riwayat keluarga yang boleh mempengaruhi risiko tersebut.