Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGEMBARA yang tiba di Malaysia bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat serta gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi (LITB) perlu menjalani ujian saringan COVID-19 setiap hari selama enam hari.

Selain pengembara VTL dan LITB, ketetapan itu juga terpakai bagi pelawat perniagaan jangka pendek.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan sebahagian daripada tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada ekoran penularan Omicron.

Menurut beliau, pengembara bagi kategori VTL, LITB dan pelawat perniagaan jangka pendek itu perlu lengkap divaksinasi.

Khairy berkata, kesemua pengembara juga perlu melakukan ujian PCR COVID-19 dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, menggantikan prosedur terdahulu yang menetapkan 72 jam sebelum berlepas.

Selain itu, beliau memaklumkan, pengembara juga perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 semasa ketibaan di Malaysia.

“Pengembara perlu melakukan ujian RTK-Ag secara kendiri pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan.

“Mereka juga perlu melakukan ujian RTK-AG profesional pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan dengan semua keputusan ujian perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Omicron berkemungkinan risiko tinggi jangkitan semula – KJ

Mengulas lanjut, bagi pengembara dari negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara iaitu bagi warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang pula, Khairy memaklumkan, ujian PCR COVID-19 mesti dilakukan dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas ke Malaysia.

Katanya, pengembara juga akan dipakaikan peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.

Khairy berkata, warganegara dan bukan warganegara yang datang dari negara melaporkan penularan Omicron dalam komuniti juga perlu melakukan ujian PCR 48 jam sebelum berlepas.

“Mereka juga akan dipakaikan peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib.

“Tempoh kuarantin bergantung kepada status vaksinasi,” jelas beliau.

Sehingga semalam, sebanyak 43 negara telah melaporkan kes COVID-19 jangkitan varian baharu Omicron.

Lapan negara telah dikenakan sekatan perjalanan sementara sejak 27 November lalu manakala lima negara lain telah melaporkan penularan dalam komuniti.

Negara tersebut adalah United Kingdom (UK); Amerika Syarikat (AS); Australia; Perancis dan Norway.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram