PENYANYI rap sensasi, Caprice mengakui menerima pelbagai persoalan dan komen daripada netizen agar menegur cara pemakaian isterinya, Farra Inalis untuk menutup aurat.

Menerusi satu perkongsian hantaran di laman Instagram, Caprice atau kini dikenali sebagai Daddycap berkata, dia sudah melaksanakan tanggungjawab dengan memberi teguran namun tidak mahu memaksa Farra untuk berubah oleh kerana manusia.

“Soalan ramai DM dan komen. Tak nak tegur bini ke? Percayalah, saya ada. Saya tidak memaksa sesiapa kerana saya juga mempunyai banyak kelemahan. 

“Saya tidak mahu dia (Farra) berubah untuk saya, netizen atau orang ramai. Saya mahu dia berubah kerana Allah. Sukar untuk dia sejak saya membawanya ke dunia dan kehidupan saya,” ujar Caprice yang turut memuat naik foto isterinya memakai hijab.

Malah, Caprice juga membantu untuk membakar semangat Farra berhijab dengan berkongsikan foto selebriti terkenal yang kini sudah berhijab sebagai inspirasi untuk menutup aurat.

“Kebelakangan ini, Cap bagi dia banyak contoh artis seperti Zizi Kirana, Fazura, Izara, untuk memberi inspirasi kepadanya untuk berubah dan membakar semangat” tulisnya.

Dalam pada itu, Caprice mendedahkan dia turut dipersoalkan oleh isterinya gara-gara jarang memuat naik foto bersama di laman Instagram.

“Baru semalam kita gaduh sikit sebab dia soal kenapa saya jarang muat naik gambar dengan dia dekat laman utama Instagram. Saya beritahu dia, satu-satunya cara saya akan muat naik gambar bersama di Instagram hanya jika dia berhijab. Nasib baik tak tidur dekat sofa,” kata Caprice.

Caprice turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada netizen dan akan berusaha menjadi seorang suami dan ayah yang baik.

“InsyaAllah, saya menghargai kepada mereka yang nasihat saya di DM. Dan saya akan cuba yang terbaik untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik,” tulisnya.

Untuk info, Caprice selamat mendirikan rumah tangga pada 15 November lalu bersama Farra Inalis yang mempunyai seorang anak bernama Aleesya Sofea.