PASANGAN selebriti terkenal, Uqasha Senrose, 29, dan Kamal Adli, 35, membuat satu pengumuman tergempar apabila mengakui sudah bergelar suami isteri pada 5 November lalu menerusi satu sidang media di The Linc, Kuala Lumpur hari ini.

Pasangan itu selamat diijab kabul dengan dua kali lafaz di sebuah lokasi rahsia yang terletak di Janda Baik, Pahang dan hanya dihadiri oleh keluarga serta rakan rapat kedua pasangan.

Jelas mereka, berita gembira itu dirahsiakan bagi menghormati dan memenuhi permintaan kedua belah pihak keluarga.

“Kami memang tak ada niat langsung nak rahsiakan daripada peminat dan rakan-rakan media. Selain daripada prosedur operasi standard (SOP) pandemik yang sentiasa bertukar-tukar, kami juga nak menjaga hati serta menghormati permintaan keluarga.

”Kami dah beritahu keluarga dan mereka semua faham. Alhamdulillah, dah sebulan tak ‘kantoi’ saya bersyukur sebab mereka menghormati permintaan kami.

“Susah nak simpan rahsia, kami ada surat peguam, siapa yang datang kena tandatangan surat peguam dahulu,” seloroh Uqasha kepada URTV.

Kamal Adli dan Uqasha Senrose sah bergelar suami dan isteri pada 5 November lalu. Kredit foto: Astro.

Tambahnya lagi, tarikh asal pernikahan adalah pada 6 Jun lalu namun disebabkan SOP yang sentiasa bertukar menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan hari bahagia berkenaan.

“Sudah terlampau lama kami tangguh daripada bulan Jun, Julai dan Ogos. Disebabkan oleh pandemik covid-19, nak tak nak kami putuskan kalau boleh buat majlis, kita buat mana yang wajib terlebih dahulu.

“Yang paling penting, kami tak nak nikah pada bulan Disember. Maka kami putuskan untuk mempercepatkan tarikh pernikahan pada bulan November,” kata pasangan ini ketika ditemui pada sidang media yang diadakan sebentar tadi.

Kamal Adli dan Uqasha Senrose tiada niat untuk rahsiakan pernikahan

Sementara itu, Kamal menyerahkan mas kahwin sebanyak RM22.50 kepada Uqasha beserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Namun, jumlah wang hantaran dirahsiakan oleh pasangan ini.

Dalam pada itu, detik bersejarah penyatuan Kamal dan Uqasha bakal diabadikan menerusi paparan tiga buah episod eksklusif dalam program Walimatulurus Kamal Adli dan Uqasha Senrose yang akan disiarkan pada 11, 18, dan 25 Disember jam 9 malam di Astro Ria.

Terdahulu, Kamal membuat kejutan dengan melamar Uqasha di pentas siaran langsung Anugerah Meletop Era (AME) 2020 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Disember 2020.