NAJIB Tun Razak hadir di mahkamah baru-baru ini. - Gambar fail BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan menegaskan ia boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibawa ke mahkamah berikutan kegagalan bekas perdana menteri  itu hadir pada prosiding permohonan beliau untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd, hari ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata mahkamah mempunyai dua pilihan sama ada untuk membatalkan wang ikat jamin dan mengeluarkan waran tangkap ke atas Najib untuk dibawa ke mahkamah serta-merta atau mengadakan prosiding secara dalam talian (online).

“Kami bagi dua pilihan, pertama, kami boleh membatalkan jaminan dan wang jaminan boleh dirampas. Kami akan mengeluarkan waran tangkap dan menangkap Najib serta-merta dan dibawa ke mahkamah.

“Pilihan kedua, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (COJA), mengadakan prosiding melalui online tanpa mendapatkan persetujuan kedua belah pihak. 

“Kami ada pengalaman prosiding dijalankan melalui online walaupun pihak-pihak  berada di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun. Ini kan pula di Malaysia,” kata kata Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera. 

Hakim Abdul Karim juga memutuskan untuk meneruskan prosiding keputusan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman berhubung penyelewengan dana SRC, yang ditetapkan esok.

Terdahulu, peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Najib, memohon prosiding hari ini dan esok ditangguhkan berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual kepada anak peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu Muhammad Farhan yang disahkan positif COVID-19.

“Saya mahu kamu maklumkan kepada pihak peguam yang mereka boleh bekerja dari rumah. Esok tetap esok, kami belum buat keputusan untuk tangguh. Kita dengar permohonan (memasukkan bukti baharu) hari ini. Ia (esok) hanya untuk keputusan, semua hujahan sudah tamat enam bulan lalu.

“Ini adalah arahan saya, kes hari ini akan didengar pada jam 12.30 tengah hari ini. Saya akan putuskan dengan sewajarnya hari ini,” kata Hakim Abdul Karim.

Pada 1 Dis lepas, Najib memfailkan permohonan itu memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib, 68, berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 Nov lepas berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram