Seluruh tumpuan terarah ke Mahkamah Rayuan, Putrajaya pagi ini berhubung keputusan kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. GAMBAR: Abd Razak Aid

JIKA berjalan seperti mana dijadualkan dengan tiada lagi penangguhan, ada tiga situasi yang boleh berlaku dalam keputusan kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Ini seperti kes-kes rayuan jenayah yang lain kerana sebagai mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, setiap kita adalah sama di sisi undang-undang.

Tiga situasi itu sama ada rayuan beliau dalam kes salah laku dana SRC International dibenarkan, ditolak atau hukuman asal yang diputuskan Mahkamah Tinggi diubah.

Apa pun keputusan, pendakwaan mahu pun perayu iaitu Najib berhak membawa kes ini ke mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan.

Andai sabitan dikekalkan, bekas Perdana Menteri itu masih boleh memfailkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan didengar.

Jika rayuan dibenarkan, pihak pendakwaan juga boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dan panel hakim yang akan terlibat lebih ramai jumlahnya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. GAMBAR: Abd Razak Aid

Jadi, perjalanan kes ini masih panjang dan jauh dari berakhir. Ketika ini biarlah proses keadilan mengikut sistem perundangan Malaysia mengambil tempat.

Malah, kedudukan Najib selaku Ahli Parlimen Pekan akan terus kekal sehinggalah segala peluang rayuan selesai.

Ini seperti mana dalam duluan melibatkan kes jenayah wakil rakyat terdahulu – contohnya dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, soal Najib berhak bertanding lagi atau tidak itu fasa seterusnya.

Yang menjadi tumpuan Malaysia dan media antarabangsa adalah keputusan rayuan beliau yang bakal dijalankan menerusi prosiding online.

Baca: Rayuan kes SRC: Najib fail permohonan kemuka bukti baharu

Permohonan kemuka bukti baru ditolak, keputusan rayuan Najib esok

Najib gagal hadir kes SRC: Mahkamah beri kata dua, termasuk kemungkinan keluar waran tangkap

Kesemuanya ada tujuh pertuduhan yang sudah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Hukuman yang diputuskan adalah penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

Seperti mana kes berprofil tinggi, kejadian-kejadian di luar mahkamah juga menghangatkan lagi situasi.

Tambahan pula pihak pembelaan juga tampil dengan permohonan memasukkan bukti baru yang kemudian ditolak Mahkamah Rayuan.

Tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes ini ialah Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pembelaan pula diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala peguam fiat, Datuk V. Sithambaran mengetuai barisan Timbalan Pendakwa Raya.

Akhirnya, sebagai warga Malaysia, tidak ada apa yang diharapkan melainkan proses perundangan sentiasa ditegakkan.

Ini demi keadilan kepada semua, baik kepada perayu mahupun pendakwaan.

Dan apa pun keputusan pagi ini, percayalah kepada kebebasan badan kehakiman yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana pengasingan kuasa perlu dijunjung mana-mana negara yang mengamalkan pentadbiran demokrasi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram