SUATU petang di bulan September tahun 1935, dua orang pelajar lelaki berjalan pulang ke rumah dari sekolah. Kerana mahu cepat sampai, mereka memilih menggunakan laluan pendek yang dikenali sebagai Kingsbury Run.

Laluan yang terletak di tengah-tengah bandar Cleveland di Ohio, Amerika Syarikat itu agak suram dan berdebu. Semasa melalui cerun yang menuju ke tempat dikenali sebagai Jackass Hill, mereka ternampak sesuatu di sebalik semak.

Mereka mendekati kawasan semak itu dan terlihat sekujur mayat yang tidak berpakaian tanpa kepala. Mereka segera melaporkan penemuan mayat yang tiada kepala itu kepada polis.

Polis yang tiba di tempat kejadian menemui mayat seorang lelaki berkulit putih yang memakai stokin hitam. Bahagian kemaluan mayat itu telah dipotong. Kaki dan tangannya juga dipotong.

Lebih kurang 30 kaki daripada mayat itu, polis menemui satu lagi mayat dengan posisi yang sama seperti mayat pertama yang dijumpai tadi. Mayat kedua itu kelihatan seperti seorang lelaki tua. Anggota badannya terpotong bersama organ genital yang turut dikembiri pembunuh.

Polis mencari anggota badan yang lain.

Pencarian dilakukan dan polis menemui kepala mayat kedua ini. Selain kepala, turut ditemui organ genitalnya. Penemuan kedua-dua mayat itu mengundang keanehan di kalangan penyiasat.

Mereka hairan melihat kawasan tempat kejadian yang tidak mempunyai kesan darah, seolah-olah pembunuh itu telah mencuci tanah sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Pemeriksaan perubatan juga menemui hal yang membingungkan. Mayat kedua yang ditemui sepatutnya telah reput tetapi kulitnya masih lagi elok walaupun berubah warna. Pemeriksaan mendapati mayat itu telah diawet dengan sejenis cecair kimia. Dianggarkan mayat itu telah dibunuh dua minggu sebelum ditemui.

Sisa tulang temulang yang ditemui polis.

Manakala mayat pertama pula menunjukkan ia telah dibunuh tiga hari sebelum ditemui. Ujian cap jari pada mayat pertama menunjukkan mangsa bernama Edward Andrassy yang mempunyai rekod polis.

Edward yang tinggal berhampiran Kingsbury Run pernah ditahan kerana membawa dan menyembunyikan senjata pada badannya. Dia juga tidak disukai penduduk kerana suka bergaduh dan kaki mabuk.

Mayat pertama dikenali sebagai Edward Andrassy.

Kesan-kesan luka pada tubuhnya menunjukkan dia mati kerana dipenggal kepala. Kesan jerut pada tangan dan kaki juga menunjukkan dia telah diseksa sebelum dibunuh.

Berdasarkan kesan potongan dan juga cara mangsa mati, pihak polis percaya pembunuhnya mungkin seorang pemotong daging ataupun seorang pakar pembedahan. Ini kerana kesan potongan dan ‘sembelihan’ menunjukkan si pembunuh begitu mahir memotong.

Sementara itu bagi mayat kedua, pihak polis tidak berjaya mengesan identitinya kerana mayat itu sudah terlalu mereput. Yang menjadi persoalan, kenapa pembunuh mesti mengawet mayat orang tua itu sedangkan mengikut kelaziman, pembunuh akan menghapuskan bukti jenayah secepat mungkin.

Detektif yang menyiasat kes itu menemui petunjuk berkaitan mayat Edward  Andrassy. Mengikut siasatan, pada malam kematiannya, Edward menghabiskan masa dengan berjudi sambil minum bir di sebuah tempat bernama Pimp.

Hasil soal siasat dengan individu yang mengenalinya mendapati dia mempunyai seorang kekasih yang berjantina lelaki. Namun, lelaki yang telah beristeri dan mempunyai anak itu membuktikan dia tidak membunuh Edward.

Empat bulan selepas itu, seorang wanita dari East Twentieth Street menemui sebuah bakul yang berisi seketul daging yang mencurigakan. Rupa-rupanya daging dalam bakul itu diambil daripada lengan manusia.

Siasatan polis juga menemui kepala, beberapa anggota badan dan organ genital milik seorang wanita. Semua benda itu disusun rapi dalam bakul tersebut. Cara susunan itu semacam pembunuh itu ingin pergi berkelah.

Beberapa jam selepas penemuan itu, berita mengenai kemunculan seorang pembunuh misteri yang dikenali sebagai Mad Butcher of Kingsbury Run, menghantui penduduk Cleveland. Mereka bimbang akan menjadi mangsa pembunuh kejam itu.

Sementara itu, siasatan mendapati identiti anggota badan mangsa dalam bakul itu adalah milik seorang pelacur bernama Florence Polillo. Maklumat itu telah membawa penemuan badan wanita itu yang ditinggalkan pembunuh di sebuah bilik hotel murahan.

Florence Polilo.

Siasatan mendapati Florence Polillo telah dibawa seorang lelaki ke bilik hotel itu pada malam sebelum dagingnya ditemui dalam bakul. Berbekalkan maklumat itu, detektif mengandaikan pembunuh itu adalah seorang lelaki.

Karakter pembunuh itu seakan sama seperti penjenayah Peter Kurten yang dikenali sebagai Dusseldorf Killer. Dia telah dihukum gantung sampai mati pada tahun 1931 kerana membunuh beberapa orang termasuk kanak-kanak dengan cara memotong anggota badan mereka.

Kekecohan masyarakat Cleveland mengenai keselamatan mereka menyebabkan kerajaan persekutuan Amerika menghantar Elliot Ness ke sana sebagai Pengarah Keselamatan Awam.

Ness adalah seorang penyiasat berpengalaman yang terkenal. Kejayaannya menyumbat gengster Al­Capone ke penjara membuatkan namanya dikenali di seluruh Amerika.

Elliot Ness.

Ness bersama pasukannya The Untouchables memulakan siasatan selepas sehari menjawat jawatan itu. Sebuah profil yang dinamakan sebagai ‘Pemburu Kepala Cleveland’ dibuka Ness di mahkamah bagi membolehkan dia menjejak dan membawa penjenayah kejam ini ke muka pengadilan.

Ness mengkaji kes ini dengan menyenaraikan semua kejadian pembunuhan misteri yang berlaku sebelum dan selepas penemuan mayat Flo Polillo. Setelah diteliti, lebih kurang 12 mangsa pembunuhan kejam telah berlaku daripada tahun 1935 hingga 1938 di Cleveland.

Siasatan mendapati mangsa pembunuh bersiri ini sekurang-­kurangnya 40 orang. Ini berdasarkan kepada penemuan mangsa yang seakan sama di Pittsburgh dan Youngstown, Ohio.

Mangsa-mangsa pembunuhan Cleveland.

Ness telah menyenaraikan kes kesemua mangsa itu dan mendapati hanya dua mangsa saja yang berjaya dikenal pasti identitinya. Ia menunjukkan pembunuh tersebut seorang yang pintar dalam menghapuskan bukti dan kesan jenayah. Juga bukan calang­calang orang.

Pada Jun 1939, tiga ejen The Untouchables telah menjumpai bukti mengenai pembunuh misteri ini. Bukti itu adalah beberapa titik darah kering pada tab mandi seorang lelaki bernama Frank Dolezal.

Pihak polis menahan Dolezal untuk siasatan. Dolezal membuat pengakuan tidak melakukan sebarang pembunuhan. Malah sewaktu berada dalam penjara, dia telah membunuh diri sebagai protes menyatakan dirinya tidak bersalah.

Dolezal membunuh diri sebagai protes menyatakan dia tidak melakukan pembunuhan tersebut.

Menyedari keadaan itu, Ness mendapati ada satu aspek yang telah terlepas pandang iaitu pengetahuan pembunuh tentang anatomi manusia. Keadaan itu menyebabkan dia mula mensyaki pembunuh itu datang daripada golongan etlit Cleveland.

Rekod mahkamah menjelaskan, Ness telah menamakan suspek sebagai Gaylord

Sundheim. Menurut laporan Ness kepada pegawai penyiasat persekutuan Amerika, identiti lelaki itu terpaksa dirahsiakan demi menjaga status quo masyarakat di situ.

Menurut laporan Ness, lelaki tersebut bagaimanapun tidak boleh didakwa di mahkamah kerana pakar psikologi mengesahkan dia mengalami masalah mental. Justeru, Gaylord Sundheim diletakkan di bawah pengawasan doktor.

Ness mengakhiri laporan itu dengan menyebut, pembunuhan kejam itu memang satu kerja gila yang hanya boleh dilakukan oleh orang yang mengalami masalah mental.

Begitulah pengakhiran pembunuhah misteri di Cleveland. Pembunuhnya masih kekal misteri, tidak berjaya dibawa ke muka pengadilan. Tidak menerima hukuman kerana didapati menghadapi masalah mental, atau mungkin juga terlepas kerana datang dari golongan elit?

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare