orang miskin penghuni syurga

Rasulullah bersabda, “Aku berdiri di ambang pintu syurga maka aku pun menyaksikan bahawa kebanyakan yang memasukinya adalah orang miskin, sedang orang yang memiliki kekayaan tertahan. Selain penduduk neraka telah diperintahkan untuk dimasukkan dalam neraka dan nyata kebanyakan penghuninya adalah wanita.”

Allah adalah al-Razzaq iaitu yang Maha Memberi Rezeki kepada makhlukNya. Ada di antara makhlukNya yang diluaskan rezekinya dan ada pula yang disempitkan. Semua itu adalah berdasarkan kepada ketinggian hikmah Allah dalam menentukan segala sesuatu. Firman Allah dalam Surah al-Isra’: 30

Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

Seringkali orang yang mendapat kekayaan merasakan dirinya dimuliakan oleh Allah, manakala orang yang mendapat kemiskinan pula merasakan dirinya dihina oleh Tuhannya.

Allah telah menjelaskan perangai ini dalam Surah al-Fajr: 15 dan 16, “Maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya:

“Tuhanku telah memuliakan daku!” Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”

Namun, pada hakikatnya ramai di kalangan manusia lupa bahawa kemuliaan itu adalah dikaitkan dengan kadar ketaqwaan yang ada pada setiap individu. Perbezaan yang ada pada manusia merangkumi warna kulit, keturunan, bahasa dan kekayaan tidak pernah memberi nilai di sisi Allah kecuali jika diiringi dengan ketaqwaan.

Miskinnya kamu tidak menjadikan kamu hina di pandangan Allah

Perkara ini ditegaskan oleh Allah dalam Surah al-Hujurat: 13, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Memfokuskan kepada aspek kemiskinan, jika kita lihat dengan lebih lanjut, kita akan dapati terdapat beberapa hadis yang menceritakan keutamaan orang yang berada dalam kemiskinan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Aku berdiri di ambang pintu syurga maka aku pun menyaksikan bahawa kebanyakan yang memasukinya adalah orang miskin, sedang orang yang memiliki kekayaan tertahan. Penduduk neraka pula diperintahkan untuk dimasukkan dalam neraka. Aku juga dapati kebanyakan penghuninya adalah wanita.” – (HR Imam al-Bukhari).

Semasa menghuraikan hadis ini, al-Shaikh al-Mubarakfuri rahimahullah dalam kitabnya Tuhfatul Ahwazi menukilkan kata-kata al-Imam Ibn Battal rahimahullah bahawa perkara yang memasukkan orang miskin ke dalam syurga bukanlah kemiskinan itu, sebaliknya mereka masuk ke dalam syurga kerana mereka soleh walaupun diuji dengan kemiskinan atau kefakiran.

Sesungguhnya orang yang miskin atau fakir itu tidak mempunyai apa-apa kehebatan sekiranya tidak soleh. Al-Shaikh al-Mubarakfuri rahimahullah juga menukilkan kata-kata al-Imam Ibnu Hajar rahimahullah bahawa hadis ini secara zahirnya menggalakkan manusia untuk tidak terlalu bersenang-lenang dengan keduniaan. Wallahu a’lam

_________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare