untung miskin rugi kaya

Rasulullah bersabda, “Aku berdiri di ambang pintu syurga maka aku pun menyaksikan bahawa kebanyakan yang memasukinya adalah orang miskin, sedang orang yang memiliki kekayaan tertahan. Selain penduduk neraka telah diperintahkan untuk dimasukkan dalam neraka dan nyata kebanyakan penghuninya adalah wanita.”

Adakah orang miskin saja dapat masuk syurga? Bagaimana pula dengan orang kaya, adakah mereka tidak berpeluang atau lambat sampai ke syurga?

Hadis ini tidak bermaksud hanya orang miskin sahaja yang akan masuk syurga. Sebaliknya semua orang yang beriman akan memasuki syurga sama ada miskin mahupun kaya.

Cuma sahaja orang miskin akan memasukinya terlebih dahulu sebelum orang kaya. Inilah yang ditunjukkan oleh hadis di atas.

Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa perkara ini berlaku? Apakah yang membezakan antara orang miskin yang soleh dan orang kaya yang soleh sehingga orang miskin yang soleh masuk syurga lebih awal?

Jawapannya telah pun dihuraikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis berikut:

“Dua perkara dibenci oleh anak Adam, pertama maut sedangkan maut lebih baik untuk orang yang beriman daripada fitnah dunia. Kedua kekurangan harta sedangkan kekurangan harta itu mengurangkan hisab di akhirat.”(HR Imam Ahmad

Jelaslah daripada hadis ini bahawa punca orang miskin yang soleh masuk awal ke dalam syurga ialah kerana mereka tidak mempunyai harta yang akan dipersoalkan berbanding orang kaya yang soleh, di mana setiap satu daripada hartanya akan dipersoalkan.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.

Tidak akan bergerak kedua kaki seorang hamba itu pada hari Kiamat kelak sehinggalah dia ditanya tentang umurnya; pada apakah dihabiskan, dan tentang ilmunya; pada apakah diamalkan, dan tentang hartanya; dari manakah dia perolehi dan di manakah dia nafkahkan, dan tentang badannya;pada apakah digerakkan. (HR Imam al-Tirmizi)

Melihat kepada ayat-ayat yang menyebut tentang orang miskin pula, kita akan dapati orang miskin ini terbahagi kepada dua, iaitu orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta.

Orang kaya lambat masuk syurga berbanding orang miskin

Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Zariyat: 19,

Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

Pada kebiasaannya, orang ramai akan memberi kepada orang miskin yang meminta. Manakala orang miskin yang mahrum iaitu tidak meminta pula sering diabaikan kerana disangka tidak memerlukan.

Di sinilah kita dapati Allah menekankan dalam ayat di atas peri pentingnya harta itu diberikan juga kepada orang miskin yang tidak meminta.

Miskin Diuji Kesabaran, Kaya Diuji Kesyukuran

Umat Islam harus prihatin dengan keadaan dan keperluan orang miskin. Orang yang mempunyai lebihan harta dan orang kaya serta pihak yang bertanggungjawab mengagihkan derma dan zakat harus mengambil sikap dan pendirian Rasulullah s.a.w. dan para Khulafa Rasyidin r.a.

Kita dapati Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat. Khulafa Rasyidin r.a. juga telah mengikuti jejak langkah Rasulullah s.a.w. dengan cemerlang.

Mereka menjadikan amalan turun padang sebagai satu amalan berterusan dalam interaksi mereka dengan manusia dan rakyat. Dengan itu mereka dapat mengenal pasti keperluan orang yang memerlukan dan menyampaikan keperluan itu kepadanya.

Sistem pengagihan harta dalam Islam adalah cukup untuk membasmi masalah kemiskinan, jika dilaksanakan dengan baik.

Akhir kata, hendaklah kita ketahui bahawa kekayaan dan kemiskinan adalah ujian daripada Allah. Orang kaya diuji untuk bersyukur manakala orang miskin pula diuji untuk bersabar.

Semoga hubungan baik antara orang kaya dan orang miskin dapat dilaksanakan bersesuaian dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, demi menjamin kesejahteraan Umat Islam. Wallahu a’lam

______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare