pilihan raya

OLEH: SHAHBUDIN EMBUN

SAYA setuju PRU-15 patut dipercepatkan dan tak boleh ditunggu-tunggu kerana momentum sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) berada di tahap yang tinggi sekarang. Kita jangan sesekali memberi ruang kepada musuh membuat persiapan rapi untuk melawan balik.

Sebagai Perdana Menteri dari parti induk UMNO maka beliau mestilah mengambil kita kepentingan parti sendiri daripada kepentingan lain.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pandangan saya, tahu bahawa parti ini akan hanyut dengan mimpi-mimpi mereka. Mereka ada wang banyak dan itu benar tapi wang tidak boleh membeli sokongan rakyat.

Mereka tiada jentera dan cawangan yang ada bertaraf ‘bunian’. Mereka hanya memperalatkan PAS sebagai jentera mereka.

Baca artikel berkaitan: PN gabungan politik pilihan rakyat pada PRU-15, kata Muhyiddin

PAS juga, di bawah Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah tidak sekuat yang digambarkan oleh propaganda akhbar mereka, Harakah. Abdul Hadi sekarang sudah mula hilang kredibiliti dengan banyak kenyataan beliau berkaitan Muafakat Nasional (MN) boleh disanggah dengan mudah.

Banyak akar umbi PAS tidak ikut dan taksub kepada arahan Hadi. Contohnya apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini dengan ahli PAS yang mesra UMNO menyokong MN dan mengundi BN.

Saya ramal bahawa PAS juga akan kehilangan banyak kerusi mereka kepada Bersatu dan mereka juga akan kalah banyak kerusi kelak.

Perdana Menteri patut faham bahawa besar kemungkinan penyokong DAP akan kembali menyokong BN pada pilihan raya kelak kerana mereka sudah bosan dan hilang kepercayaan kepada Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.

Waima penyokong DAP ini memberi amaran bahawa mereka tidak akan menyokong nomadic candidate atau calon payung terjun. Kit Siang sendiri akan tewas jika bertanding di kawasan sekarang.

Mereka mahu calon tempatan dan wajib berkerja serta berkhidmat kepada rakyat setempat bukan calon payung terjun yang setahun sekali baru nampak muka hidung.

Begitu juga penyokong DAP tahu bahawa semasa 22 bulan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah kehidupan mereka juga terkesan dengan tiada perubahan ekonomi. DAP di bawah rejim Kit Siang serta keluarganya menunggu hari saja.

Begitu juga PKR sekarang berada dalam keadaan lemah apabila mereka kalah semua kerusi ditandingi di Melaka. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ibarat berada di dalam rumah kaca sekarang.

Rumusannya kita kuat. BN kuat dan UMNO paling kuat. Perdana Menteri kita pula ada kuasa mutlak sebagai orang nombor satu negara dan secara afdalnya patut mengambil kira pandangan rambang saya ini. Semoga PRU-15 dipanggil segera demi kelangsungan perjuangan bangsa, agama dan negara kita.

Saya yakin kita boleh menang bergaya dan Insya-Allah kita berjaya menawan Putrajaya kembali secara mutlak.

Harapan saya kepada semua sahabat berdoalah semoga Perdana Menteri kita terbuka hati untuk mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

Penulis adalah Penganalisis Politik dan Exco Kelab Sahabat N87

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram