KISAH ini berlaku lebih kurang 12 tahun lalu. Waktu itu aku masih bujang, tinggal serumah dengan Zaki. Kami menyewa rumah bersama di Cheras.

Kawan aku si Zaki ni seorang yang sukakan barang-barang antik. Ahli keluarganya pun sama. Secara tak langsung, aku pun jadi terikut dengan hobinya itu. Aku pun suka tengok barang-barang vintaj ni.

Aku pernah beberapa kali datang ke rumah nenek Zaki di Sungai Tiram, Johor Bahru. Rumah neneknya memang banyak koleksi barangan antik.

Kali pertama aku datang pada tahun 2004. Masa itu memang aku teruja sangat tengok macam-macam barang antik di rumah nenek Zaki. Sebab itu bila Zaki ajak aku balik kampung ke rumah neneknya, aku memang akan ikut.

Segala perabot dan barang antik di rumah neneknya itu tersusun rapi. Antara barang antik yang aku masih ingat ada di rumah itu seperti kereta kanak-kanak buatan tahun 1937, kerusi rotan kanak-kanak yang diletakkan pada palang basikal, gramofon tahun 1930-an jenama Lissenola, raket badminton tahun 1950-an jenama Lilywhite Frowd dan sarung kayunya, serta banyak lagi barang-barang kecil lain.

Namun, nenek Zaki meninggal dunia pada tahun 2009. Lebih kurang enam bulan selepas kematian neneknya, Zaki ajak aku balik kampung untuk membantunya mengemas rumah neneknya.

Selepas neneknya meninggal, rumah itu tidak dihuni sesiapa. Pak cik serta mak cik Zaki masing-masing sudah ada rumah sendiri dan semuanya tinggal di luar Johor.

Disebabkan Zaki juga adalah cucu yang paling rapat dengan arwah neneknya, tugas membersih dan mengemas rumah tersebut diserahkan kepada Zaki.

Ada sebuah bilik di rumah itu yang aku tak pernah masuk. Bilik itu adalah bilik nenek Zaki sendiri. Bukan hanya aku, malah Zaki pun tidak pernah masuk ke bilik neneknya itu selepas kematian datuknya lebih 15 tahun sebelum neneknya meninggal.

Kata Zaki, semasa kecil dia selalu masuk ke bilik tersebut. Di bilik itu juga dia selalu menemankan neneknya tidur jika datuknya tiada di rumah.

Walaupun sebelum itu aku dah biasa ikut Zaki datang ke rumah neneknya, tapi entah kenapa pada hari kami hendak mengemas rumah itu, hati aku rasa macam ada benda yang kurang enak. Tak tahulah kenapa. Semasa berada dalam rumah tu, terasa macam ada sesuatu yang memerhati.

Bila aku berdiri di depan cermin solek bercermin kembar kiri dan kanan yang boleh dilipat seperti daun tingkap dalam bilik nenek Zaki, aku perasan yang pantulan imej dari kedua-dua cermin itu bukan imej wajah aku. Aku tak pasti adakah itu cuma perasaan aku saja. Susah nak diterangkan.

Cermin solek itu mempunyai cermin kembar di kiri dan kanannya. – Gambar sekadar hiasan.

Hari pertama berkemas, kami hanya meninjau saja bilik nenek Zaki. Kami tak sempat nak bersihkan bilik itu. Kami hanya bersihkan perabot dan barang-barang yang berada di ruang tamu, ruang makan serta dapur.

Pada hari kedua, barulah kami mengemas kesemua bilik yang ada dalam rumah itu. Kami mulakan dengan bilik di bahagian depan, kemudian tiga bilik di bahagian tengah, dan akhir sekali bilik nenek Zaki.

Kalau hari sebelum itu aku rasa macam ada sesuatu bila masuk ke bilik nenek Zaki, mahu tak mahu aku gagahkan juga masuk pada hari kedua. Satu-demi satu barangan yang ada di situ kami bersihkan.

Sesekali aku menoleh ke arah cermin solek berkembar yang boleh dilipat itu. Sama macam semalam, imej yang terpancar pada cermin utama memang muka aku. Sesekali kelihatan imej Zaki bila dia lalu di belakang aku.

Tapi yang peliknya, imej di kiri dan kanan cermin lipat itu bukan imej aku. Aku tak tahu imej siapa, tapi aku yakin bukan imej aku. Tapi, imej aneh itu cuma muncul sekejap-sekejap saja, dan aku perasan kalau aku toleh sepintas lalu. Kalau aku pandang tepat lama-lama pada cermin kembar itu, imej yang muncul memang imej aku.

Gerak hati aku mengatakan ada sesuatu dengan cermin itu. Tapi aku diamkan saja, tak beritahu Zaki.

Masa tengah mengemas bilik itu, Zaki keluar sekejap kerana mahu ke stor di belakang rumah untuk mengambil kain lap yang baru. Masa itu tinggal aku seorang dalam bilik itu.

Aku teruskan kerja mengelap almari pakaian. Sesekali aku jeling pada cermin solek tadi. Sama macam tadi, imej pada cermin besar memang aku. Tapi dari lirikan hujung mata, aku perasan imej pada cermin kiri dan kanannya bukan aku.

Masa aku tengah suspen tu, Zaki muncul. Pelik dia tengok muka aku sambil bertanya, kenapa wajah aku nampak pucat.

Aku jawab, tak ada apa-apa. Kami teruskan kerja-kerja membersihkan perabot di dalam bilik tersebut sehingga menjelang senja. Bilik arwah nenek Zaki sudah bersih dari habuk dan sesawang.

Setelah selesai, kami keluar. Sebelum Zaki mengunci semula bilik arwah neneknya itu, aku sempat menjeling ke arah cermin solek tadi. Kali ini aku dah mula takut. Aku tak nampak imej aku dalam cermin besar tu.

Yang jelas kelihatan hanya imej Zaki, padahal aku dan Zaki berada sebelah menyebelah dan kami sama-sama memandang cermin itu. Secara logiknya dah tentu nampak imej kami berdua dalam cermin itu, tapi yang nampak hanya imej Zaki seorang. Meremang bulu tengkuk aku masa tu.

Aku tak berani cakap apa-apa pada Zaki. Setelah selesai semuanya, malam itu juga kami bergerak meninggalkan Sungai Tiram menuju pulang ke rumah sewa kami di Cheras.

Ketika berhenti makan di hentian rehat Pagoh, Zaki mula bercerita sesuatu. Katanya, ketika hendak mengunci bilik neneknya petang tadi, sebenarnya dia hairan kenapa dia hanya melihat imej aku seorang di dalam cermin, tetapi imejnya tak ada!

Hah? Kali ini aku pula terperanjat. Imej Zaki tak ada? Sedangkan yang aku tengok imej dia ada dalam cermin, tetapi imej aku yang tiada. Jadinya, kami berdua sama-sama bingung. Aku nampak imej aku tiada, tapi Zaki pula nampak imejnya yang tiada. Aduh, parah. Sah, ada ‘seseorang’ yang telah mempermain-mainkan kami.

Selepas membuka topik ‘imej’ itu, perbualan kami berlanjutan hingga hampir dua jam kami minum di hentian rehat itu. Dua kali kami menambah kopi ‘o’ buat pencelik mata dan persoalan itu masih menjadi misteri.

Sejak itu, aku tak pernah datang lagi ke rumah arwah nenek Zaki. Saspen juga aku nak ke sana lagi. Lagi pulak nak melihat ke arah cermin solek berkembar itu.

Tak tahulah apa jadi pada cermin solek itu. Apakah sudah ada tuan yang baru? Apakah ada ‘penghuni’ di dalam cermin itu? Entahlah.

**Diceritakan oleh : Muhammad Firdaus, Kuala Lumpur.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare