Dari semasa ke semasa, MAQIS merampas ayam beku dari Thailand kerana tidak memenuhi syarat./ Gambar media sosial

SEBANYAK 54 tan keratan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk dari Thailand dirampas di Kelantan sejak Januari hingga November tahun ini.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), turut dirampas sejumlah 13,281 ekor ayam hidup.

Jelas jabatan itu, kemasukan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku bernilai RM768,000 itu dirampas kerana gagal mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan.

Menurut MAQIS, kesemua ayam hidup bernilai kira-kira RM100,000 pula dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin ketika cuba dibawa masuk melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok.

“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS.

Baca: 3 tan ayam rampasan Maqis jadi rezeki haiwan Zoo Melaka

“Di bawah Seksyen 11(3) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.

MAQIS dalam kenyataan itu memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan yang lain akan terus komited dan mengambil langkah serius dalam mempertingkat kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.

Ini bagi memastikan isu melibatkan kawalan penyakit, keselamatan makanan, pengiktirafan halal dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara ini dapat dibendung serta dikawal.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram