10 tanda orang berakal

Pertama: Orang berakal selalu menaksir harga dirinya. Menaksir harga diri dengan menilik hari-hari yang telah dilalui, adakah dipergunakan kepada perbuatan-perbuatan yang berguna, dari hari yang masih tinggal ke manakah pula digunakan?

Kedua: Orang berakal selalu berbantah dengan dirinya. Kalau diri itu bermaksud menempuh yang jahat, dihukumnya bahawa kejahatan itu berbahaya, merugikan dan mencelakan. Dan kalau diri itu ada mengingat yang baik, dihukum bahawa kebaikan itu menguntungkan, membawa kemenangan dan memberi laba.

Ketiga: Orang berakal selalu mengingati kekurangan, kalau perlu dituliskannya di dalam sebuah buku sebagai peringatan sehari-hari. Baik kekurangan dalam agama, atau pada akhlak dan kesopanan. Peringatan diulang-ulangnya dan buku itu kerap kali dilihatnya untuk direnungi dan diikhtiarkan beransur-ansur merubah segala kekurangan itu.

Keempat: Orang  berakal tidak berdukacita lantaran ada cita-citanya di dunia yang tidak kesampaian atau nikmat meninggalkannya. Diterimanya apa yang terjadi atas dirinya dengan tidak merasa kecewa dan tidak putus-putus berusaha.

Kelima: Orang  berakal enggan menjauhi orang yang berakal lain. Kerana tanpa teman yang berakal, akan lemahlah dia dan dengan bersama akan dapat dia membandingkan di mana kekurangannya dan di mana kelebihannya.

Keenam: Orang berakal hanya merindui tiga perkara, iaitu menyediakan bekal untuk hari kemudian, mencari kelazatan jiwa dan menyelidiki erti hidup.

Ketujuh: Orang berakal tahu membezakan manusia. Sebab itu dia tidak canggung bergaul dengan sesiapa pun.

Kelapan: Orang berakal sedar bahawa di antara akal dan nafsu, atau di antara fikiran dan hawa tidak ada persetujuan. Kehendak nafsu biasa manis pangkal dan hambar hujungnya, dan kehendak akal pahit pangkal tetapi manis hujungnya. Sebab itu mereka suka berpahit-pahit dahulu, bermanis-manis kemudian!

Kesembilan: Orang berakal tidak menjawab sebelum ditanya. Tidak pula menjawab pertanyaan lebih daripada mesti, supaya jangan dikatakan orang. Tidak pula menghinakan orang, kerana orang yang menghina pemerintah rosaklah dunianya. Orang yang suka menghinakan orang alim rosaklah agamanya, dan orang yang menghinakan kawan-kawan rosaklah maruahnya.

Kesepuluh: Orang berakal pandai membandingkan yang belum ada dengan yang telah ada, yang belum didengar dengan yang telah didengar. Umurnya yang tinggal dibandingkannya dengan yang telah pergi.

Yang belum tercapai dengan yang telah tercapai. Segala pekerjaan tidaklah diukur dengan wang atau emas. Sebab harta yang datang dan pergi, mendahului kita atau didahului. Tetapi akal tetap dalam bekasnya kekal, walaupun tubuh masuk ke liang lahat. Orang berakal hidup buat masyarakat, bukan buat dirinya sendiri.

(sumber: Falsafah hidup oleh Prof. Dr Hamka)

_____________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare