PERNAH dengar tentang spesies pokok yang boleh ‘berjalan’? Mesti rasa pelik bila mendengarnya, tetapi jangan terkejut jika tumbuhan begini memang wujud di dalam hutan Amazon.

Spesies pokok yang mampu beralih dari tempat asalnya ini dikenali sebagai Socratea exorrhiza. Spesies ini terkenal dengan julukan ‘Pokok Berjalan’ atau ‘Cashapona’ (walking palm).

Ia merupakan sejenis pokok palma yang tumbuh di dalam hutan hujan tropika di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Pokok ini dikenali dengan julukan ‘Walking Palm Tree’.

Berdasarkan rekod, tanaman ini boleh tumbuh sehingga tingginya mencapai 25 meter dengan ukuran batangnya mencapai 17 sentimeter ukur lilit. Pokok ini nampak unik kerana memiliki bentuk akar yang agak ganjil, membuatkan pokok ini kelihatan seolah-olah ‘berdiri’ menggunakan akarnya.

Melihat pada keanehan tunas itu, timbul persoalan apakah kerana akarnya yang unik itu menyebabkan ia boleh ‘berjalan’?

Akar pokok ini nampak ganjil.

Pada awalnya, tiada siapa tahu apa kegunaan atau fungsi akar pokok tersebut. Oleh kerana bentuknya yang agak luar biasa, ia telah menarik minat perbincangan dan perdebatan di kalangan para ilmuwan.

Sejak itu, beberapa fakta mengenai tanaman ini telah ditemukan. Semuanya dicetuskan oleh Corner pada tahun 1961. Pada pendapatnya, akar pokok ini berkeadaan begitu untuk menyesuaikan dirinya dalam hutan tebal. Ini membantunya berasimilasi dengan keadaan muka bumi sesuatu tempat termasuk bertanah berpaya.

Teori lain pula berkaitan dengan mistik. Ada yang mengatakan bahawa pokok ini ‘berpenunggu’. Satu kuasa misteri seperti ‘hantu’ dikatakan telah menggerakkannya lalu menyebabkannya ia boleh berpindah ke sana sini.

Ketinggian pokok ini boleh mencapai sehingga 25 meter.

Pada tahun 1980, seorang pengkaji hutan bernama Bodley cuba membincangkan semula tentang keganjilan pokok ini. Menurutnya, akar yang kelihatan ganjil itu kemungkinan punca sebenar mengapa tanaman itu boleh ‘berjalan’.

Selain akar pokok, boleh jadi juga keadaan muka bumi di hutan Amazon yang mungkin sentiasa berubah menyebabkan sebahagian tanaman di sana bergerak ke posisi lain.

Hipotesis beliau ini kemudian membuka mata para pemikir dan ia seterusnya menjadi topik perbincangan.

Seorang penulis, Radford dalam media Skeptical Inquirer pada Disember 2009, menyatakan tentang rasa kurang percayanya terhadap fenomena pokok berjalan ini.

Dia berpendapat bahawa cerita mengenai pokok yang pandai berjalan sendiri di atas lantai hutan Amazon itu memang satu perkara menarik. Tapi, semua itu tidak masuk akal dan ia mitos semata-mata. Sekiranya benar bagai dikata, dia mencabar supaya kebolehan tumbuhan itu dapat dibuktikan secara saintifik.

Socratea exorrhiza, pokok yang mampu beralih tempat.

Tidak berapa lama selepas itu, pasukan penyelidik dari Amerika Syarikat, John H. Bodley dan Foley C. Benson menulis tentang fenomena ini dalam sebuah buku berjudul The Association for Tropical Biology and Conservation.

Berdasarkan pemerhatian mereka, pokok yang digelar ‘Walking Palm Tree’ ini memang memiliki kebolehan yang diperkatakan itu.

Apabila diperiksa, barulah diketahui bahawa pokok berkenaan rupanya tidak mempunyai akar pusat. Jejari akar yang dimilikinya itu seakan-akan berfungsi sebagai ‘kaki’ untuk berdiri. Sebab itulah tumbuhan ini dikatakan mampu bergerak dan mengubah posisinya.

Akarnya yang unik membantu pokok ini untuk ‘berjalan’

Proses penghijrahan atau berpindah ke tempat lain dilakukan apabila pokok ini tumbang akibat ditimpa oleh tumbuhan lain. Pokok ini kemudian membawa diri dan bergerak dengan menggunakan akar yang ada sebagai ‘kaki’ untuk mencari kehidupan baru.

Lokasi yang menjadi pilihannya ialah kawasan yang kaya dengan sumber makanan dan mempunyai sinaran matahari. Sekiranya, lokasi baru itu menepati syarat keperluan, pokok berkenaan akan meletakkan tunasnya di atas tanah dan terus tinggal di situ.

Apa yang mengejutkan, pokok tumbang tadi akan kembali tegak berdiri seperti sedia kala bersama akar yang baru tumbuh selepas beberapa minggu berlalu.

Menakjubkan bukan? Kelakuan unik pokok ini menyebabkan ia digelar sebagai satu-satunya tumbuhan yang gemar menanam dirinya sendiri di atas tanah dan di mana-mana saja yang diingini.

Hendak kata pokok ini ‘berjalan’ jauh, tidak juga. Dikatakan pergerakannya hanya sekitar satu hingga tujuh meter setahun daripada tapak asal. Namun, ia tetap salah satu tumbuhan yang mempunyai keunikan tersendiri.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare