Neru Krishnamorthy dan dari kanan, Muhammad Amin Nazran bergambar selepas menerima surat tawaran memasuki institusi pengajian tinggi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Jom Masuk IPT sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, di KLCC, Kuala Lumpur semalam.

SALAH seorang penerima surat tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menyifatkan ia satu sejarah buatnya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Muhammad Amin Nazran, 21, berkata, peluang itu sudah lama dinantikan dan menerimanya daripada Perdana Menteri, tentulah satu detik yang cukup bermakna.

Muhammad Amin melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam jurusan Teknologi Telekomunikasi di Kolej Komuniti Ampang, Kuala Lumpur.

“Saya dari golongan B40 dan peluang ini akan saya manfaatkan dengan sebaik yang mungkin untuk beri yang terbaik buat keluarga,” katanya ketika ditemui semalam.

Muhammad Amin menerimanya pada pameran Jom Masuk IPT sempena 100 Hari Aspirasi Keluargra Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyerahkan komputer riba kepada salah seorang pelajar UiTM ketika melawat ruang Pameran Jom Masuk IPT pada Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca: PM sampaikan surat tawaran di Jom Masuk IPT kepada pelajar

Sementara itu, Neru Krishnamorthy, 19, berkata, dia akan melanjutkan pelajaran dalam jurusan yang diminatinya iaitu Teknologi Maklumat pada peringkat diploma di sebuah politeknik.

“Saya gembira sebab dapat bantuan daripada Perdana Menteri, walaupun beliau sangat sibuk tetapi masih dapat meluangkan masa untuk datang ke sini,” ujarnya.

Tawaran ini katanya, bukan sahaja mendorong dirinya untuk terus berjaya, bahkan memberi semangat kepada yang lain untuk sama-sama memasuki institusi pengajian tinggi.

Ujarnya, peluang belajar adalah sangat luas dan kerajaan sentiasa memberi perhatian dalam aspek meningkatkan diri dalam pendidikan.

Bagi seorang pengunjung, Malliswary Raman, 56, memberitahu, program Jom Masuk IPT ini membantunya untuk mencari maklumat yang terkini mengenai tawaran kemasukan universiti untuk anaknya.

“Sebelum ini anak saya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti selepas tamat pelajaran di politeknik.

“Jadi saya hadir di pameran ini untuk mendapatkan maklumat di mana tempat yang paling dan diterima untun anak saya menyambung pembelajaran,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram