nafsu bawa kepada kejahatan

Nafsu sering mendapat cacian tidak sebagaimana iman. Walau berjuta makian dan penghinaan, nafsu juga yang sering menjadi ikutan. Dalam al-Quran Allah S.W.T. telah berfirman sabda Nya,

“Sesungguhnya nafsu itu senantiasa mengajak kepada kejahatan.” Surah Yusof: 53.

Manakala dalam surah as-Shaad: 26 pula, Allah telah mengingatkan hamba Nya agar tidak menurut hawa nafsu semata. Firman Nya,

“…Maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.”

Ramai di antara manusia yang berilusi sesuatu yang muncul dari hawa nafsunya dianggap berasal dari akal. Demikian juga mereka berilusi bahawa bisikan-bisikan buruk yang dibuat oleh syaitan, dianggap dari akal mereka sendiri.

Padahal mereka telah dikaburi oleh syaitan sehingga memandang indah segala keburukan mereka, dan mereka pun menuruti hawa nafsu tanpa hujah syariah dari Allah.

Firman Allah dalam surah Muhammad: 14

“Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari tuhannya sama, dengan orang yang syaitan menjadikan dia memandang baik perbuatannya dan mengikuti hawa nafsunya”

Sememangnya nafsu adalah satu benda tunggal yang mahal dan bernilai. Apabila ia masuk ke dalam jiwa, ia tidak mampu dikawal kerana nafsu begitu kuat mengarah kepada kejahatan.

Allah menjadikan nafsu sebagai ujian untuk umat manusia. Dalam masa yang sama, Allah turut mengurniakan pasangan nafsu iaitu akal bagi menyeimbangi nyalaannya yang berkobar-kobar.

Tanpa nafsu dan akal, bermakna tiada faedah kita dijadikan. Keduanya itu menjadi satu kemulian yang Allah anugerahkan kepada manusia, kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah berbanding makhluk yang lain.

Nafsu Bukan Syaitan

Nafsu bukanlah berasal dari syaitan walaupun ia mengarah kepada kemaksiatan. Sebaliknya bukan juga semua nafsu mengarah kepada kejahatan. Ia adalah sesuatu yang semulajadi dalam diri. Fitrah dijadikan manusia memang mempunyai nafsu.

Andainya manusia tidak mempunyai nafsu, bagaimana zuriat boleh berkembang. Sedangkan bersama dengan isteri adalah dorongan dari nafsu. Bukankah ia halal, jadi bagaimana boleh dikata nafsu hanya tertumpu untuk melakukan kejahatan.

Melawan hawa nafsu adalah jihad paling besar bagi umat Islam

Peranan syaitan hanyalah menghembuskan bisikan untuk membangkitkan hawa nafsu. Tujuannya tidak lain untuk mengheret anak Adam ke lembah maksiat dan melakukan sesuatu yang haram. Tugas syaitan hanya mengembangkan keinginan yang ada dalam hati, dan itulah janji-janji mereka untuk menyesatkan manusia.

Jihad Nafsu

Ada pun nafsu yang terdapat dalam diri manusia adalah ujian dari Allah. Sekiranya dia dapat menguasai nafsunya bermakna dia telah berjaya mengatasi salah satu ujian Allah yang cukup berat ini. Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsunya ditingkatkan dari kejahatan kepada baik, maka Allah akan memberi jalan petunjuk kepada jalan yang baik.

Itu merupakan janji Allah kerana nafsu perlu dididik dengan telunjuk iman. Nafsu merupakan musuh di dalam, sedangkan syaitan hanya musuh luaran. Disebabkan itu ketika bulan Ramadan, sekalipun syaitan telah dirantai dan kita berada dalam kelaparan, namun maksiat tetap tegar dilakukan. Apabila nafsu sudah berjaya ditundukkan, dan taat dengan perintah Allah, ketika itulah syaitan dapat dikalahkan.

Dalam satu riwayat, ketika Baginda s.a.w. dan para sahabat kembali dari peperangan Badar, Baginda bersabda,

Kita baru pulang dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang sangat besar”

Sahabat bertanya, “Apakah peperangan yang sangat besar itu ya Rasulullah? Jawab Baginda, “Perang melawan hawa nafsu,” HR al-Baihaqi

Lingkaran Nafsu

Para ulama menukilkan, nafsu yang sentiasa melingkari kehidupan manusia ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu nafsu ammarah bissu’, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah.

Nafsu ammarah bissu’ adalah tingkatan pertama yang terjadi kepada orang awam. Nafsu ini seringkali mendorong manusia untuk melakukan kemungkaran, kemaksiatan dan kejahatan.

Mereka yang memiliki nafsu ini biasanya memiliki sifat-sifat mazmumah iaitu sifat yang dikeji Allah seperti dengki, iri hati, khianat, pemarah dan sebagainya. Mereka tidak menyesal dengan kemaksiatan yang dilakukan, bahkan berasa bangga dengannya.

Firman Allah surah Yusof: 53

Sesungguhnya nafsu ammarah itu senantiasa menyuruh berbuat jahat

Nafsu terhadap duit dan kemewahan adalah musibah yang paling besar bagi manusia

Nafsu yang kedua adalah nafsu lawwamah iaitu nafsu yang mengkritik diri sendiri apabila melakukan sesuatu kejahatan atau dosa. Nafsu ini lebih tinggi sedikit dari nafsu ammarah. Orang yang mempunyai nafsu sebegini sedar akan kesilapan dan kemungkaran yang dilakukannya, namun dia tetap melakukan kemungkaran tersebut. Contohnya meninggalkan solat, timbul dalam hatinya rasa kecut dan menyesal lantas segera mengqadakannya kembali tanpa bertangguh.

Manakala tingkat yang teratas adalah nafsu mutmainnah. Hanya orang dekat dengan Allah mempunyai nafsu sebegini. Mereka yang memiliki nafsu ini terkikis dari sifat-sifat yang tercela. Di antara ciri-ciri orang yang memiliki sifat ini adalah bermurah hati, redha, syukur, istiqomah dalam beribadat dan bertakwa kepada Allah. 

Fungsi Akal

Allah tidak menciptakan manusia hanya dengan nafsu semata, tetapi turut dilengkapkan dengan akal. Akal merupakan kurniaan Allah kepada manusia yang membezakan dan melebihkannya dari seluruh makhluk yang lain. Dengan anugerah inilah Allah memuliakan anak cucu Adam.

Akal merupakan alat manusia untuk mentafakur alam sehingga ia mendapat petunjuk untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya. Akal jugalah yang digunakan untuk menggali ilmu-ilmu serta rahsia-rahsia alam untuk dimanfaatkan buat kepentingan manusia.

Bahkan dalam al-Quran, berulang kali Allah menyebutkan tentang suruhan untuk hambanya menggunakan akal dan berfikir bagi membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Tindakan akal adalah merasionalkan segala tuntutan nafsu.

Namun seringkali juga akal tewas dengan gelojak nafsu. Akhirnya jadilah sebagaimana yang berlaku pada umat Islam hari ini. Ini rentetan dari perasaan kita yang selesa dengan apa yang kita ada sehingga ditimpa penyakit orang dahulu.

Sememangnya ramai yang mempunyai akal, tetapi itu bukan penanda aras kemuliaan. Sebaliknya seseorang yang mempunyai akal dan menggunakan akal untuk berfikir, itulah orang yang dipandang mulia.

Benarlah firman Allah dalam surah al-Hajj: 46 menyatakan,

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai kalbu. Dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana bukanlah sesungguhnya mata itu yang buta tetapi yang buta adalah kalbu yang di dalam dada.” Wallahu a’lam

___________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare