“MEMBESARKAN anak-anak dalam dunia yang serba maju dan mencabar sekarang, bukan  tugas mudah. Saya tak salahkah keadaan, tetapi mungkin kerana saya sendiri terlalu berfikiran negatif menyebabkan saya bimbang melepaskan anak-anak saya sejak dari kecil hingga remaja sekarang, keluar rumah. 

“Ada kawan nasihatkan, biarkan mereka berkawan, dengan berkawan mereka dapat banyak pengalaman. Kalau betul! Kalau tersilap langkah macam mana? Kerana itu maka saya takut bebaskan mereka keluar tanpa saya pastikan ke mana tujuannya, atau saya hantar ke tempat yang dia tuju dan saya mahu kenal dengan semua rakan-rakannya. Biarlah orang kata saya kolot, tetapi saya tak mahu perkara buruk berlaku.’’ Itu cerita Dalhiya ketika kami bertemu. 

“Saya sedar perbuatan saya mengawal mereka  tidak disukai. Contoh, saya tak suka kalau mereka pergi menonton wayang (sebelum Covid-19), apa lagi pergi belajar di rumah kawan. Kalau terpaksa pergi juga, saya tanya kawan dia ada abang ke, bapanya bekerja ke dan macam-macam lagi. Hingga mereka bosan menjawab. Tapi saya mesti berhati-hati. 

“Saya kawal sebab mereka masih remaja, mungkin mereka tidak pandai berkata `tidak’ kepada benda yang tak disukai, atau ingin mencuba sesuatu baru. Dan zaman sekarang macam-macam boleh mereka lihat dan tonton dalam telefon, semuanya di hujung jari. 

“Sebenarnya saya ibu tunggal. Bercerai ketika anak-anak masih kecil, berusia 8 tahun, yang kecil 6 tahun. Kedua-duanya perempuan. Bergaduh pasal nafkah memang tak boleh cakaplah. Bekas suami cakap kalau nak nafkah, bagi dia ambil anak-anak selama seminggu setiap cuti sekolah. 

“Masalahnya bukan dia yang jaga, dia hantar kampung, suruh emaknya jaga. Tetapi dia lupa, tinggal bersama emaknya bermakna tinggal juga dengan 2 orang adik lelakinya yang sudah bekerja tapi belum berkahwin. 

“Nak jadikan cerita, suatu hari anak sulung saya Shasha menangis bila ayahnya hantar balik rumah. Saya tanya kenapa, dia tak mahu jawab. Dia cuma cakap, `Benci, tak mahu pergi rumah Opah lagi!’. Bila ditanya, dia masih tak jawab, cuma kata; `Tak suka! Tak suka!’ Pelik dan amat memeranjatkan saya. Sebelumnya Shasha bukan macam ini, walaupun agak pendiam. 

“Seperti biasa saya mandikan dia, tetapi kali ini dia tak mahu. Katanya nak mandi sendiri. Hati mula timbul kerisauan, tapi saya diam dan memerhati dari jauh. Malamnya ketika dia tidur saya ambil kesempatan melihat badannya. Saya nampak ada kesan lebam di dada dan lengannya. Hati saya mula syak yang bukan-bukan. Maklum, anak kita perempuan. 

Saya tanya Shasha kenapa dia tak mahu ke rumah opah lagi, tapi dia enggan beritahu.

“Saya tanya bekas suami, ada sesiapa pukul Shasha tak? Dia nafikan. Saya ceritakan ada kesan lebam di dada dan lengannya. Saya akan bawa Shasha ke dostor. Tapi bekas suami menegah, katanya dia sendiri akan datang tengok sebelum bawa Shasha ke doktor. Esoknya dah malam baru dia datang, tetapi Shasha menjerit-jerit tak mahu buka baju untuk ayahnya lihat kesan lebam itu. 

“Sebelum itu, kerana mengsyaki sesuatu tak baik, saya panggil adik buat rakaman video secara sembunyi. Saya rasa ada sesuatu yang tak baik telah berlaku. Kalau tidak kenapa bekas suami larang saya bawa Shasha ke doktor. Oleh kerana tak mahu merosakkan lagi fikiran Shasha, maka saya buat perjanjian dengan bekas suami, selagi saya tak dapat cerita sebenar, saya tak akan benarkan lagi dia ambil anak bermalam di rumah emaknya. Jika tidak, saya akan panjangkan kejadian ini dan bawa Shasha ke doktor, biar terbongkar semua. 

“Sejak itu dia tak ambil anak lagi. Dia sendiri tak boleh jaga anak, kerana isteri barunya bekerja. Sebab itu dia hantar ke kampung. Walaupun bekas suami tak ambil anak, saya tetap minta nafkah. Kerana saya tak tuntut ke mahkamah, dia bagi nafkah sesuka hati, tapi tak kurang RM200 sebulan. Memang tak cukup, tapi pada awal tahun sekolah dan hari raya, dia bagi lebih. Tapi biasalah, macam-macam alasannya. Kita macam minta sedekah. 

“Saya terpaksa mengalah, asalkan anak-anak tak diambil lagi. Namun saya masih tak puas hati, bila anak-anak semakin besar, perlahan-lahan terbongkarlah rahsia adik bekas suami cuba melakukan perbuatan tak senonoh dengan Shasha. 

“Tapi Shasha walaupun masih kecil, dia menangis dan menjerit sekuat hati. Malam itu juga Shasha mahu balik rumah saya, tetapi esok baru ayahnya datang. Jadi ayahnya tak tahu apa berlaku sebab emaknya tak beritahu mengapa Shasha menangis malam tersebut. 

Rupa-rupanya adik bekas suami cuba cabul Shasha.

“Memang saya kesal tak bertindak waktu itu, tapi apa nak buat, ketika itu Shasha ketakutan dan tak mahu bercerita dengan saya. Beberapa tahun kemudian sedikit demi sedikit saya berjaya kongsi masalahnya, tapi segalanya sudah terlambat.      

“Saya memang kesian dengan Shasha, dia lebih suka mendiamkan diri di rumah bersama saya, berbanding adiknya Shazi ada ramai kawan dan suka keluar belajar pergi ke rumah kawannya. Banyak kali saya suruh bawa kawannya ke rumah, tetapi dia lebih suka pergi ke rumah mereka. Ini yang menjadi masalah besar saya. 

“Sikap dan perbuatan Shazi suka bertandang ke rumah orang membuatkan saya takut sebab kerana suka bertandang dan belajar dengan kawanlah saya hampir ternoda satu ketika dahulu.  

“Ketika bersekolah dahulu, saya ada kawan baik. Aleen namanya. Rumah kami selang beberapa buah sahaja, (kami duduk kampung moden). Ayah kami kerja dengan kerajaan, sementara ibu suri rumah sepenuh masa.

“Kerana baik, kalau bukan pasal belajar pun saya sering juga ke rumah Aleen. Begitu juga dia sering bertandang ke rumah saya. Berkongsi makan minum dah jadi amalan biasa. Kami kenal baik dengan ibu bapa masing-masing. 

“Hinggakan mereka tidak melarang jika ada ketikanya saya tidur di rumah Aleen, atau sebaliknya. Begitulah baiknya hubungan kami, dan eratnya kedua-dua keluarga.           

“Suatu hari saya ke rumah Aleen, tetapi abangnya, Uzir yang keluar. Terkejut saya, sebab Uzir belajar di KL ambil diploma. Kata Uzir, dia balik mengejut kerana nenek sakit. Tetapi sampai di rumah, semua orang dah balik kampung. Jadi Uzir tinggal sendirian. 

“Kerana kami memang kenal, Uzir pelawa masuk. Katanya dia tunggu kawannya sebab nak pinjam motor nak balik kampung. Dia minta saya tunggu sebab nak bagi saya simpan kunci rumah, manalah tahu kakaknya akan balik nanti. 

“Sementara menunggu itulah kami berbual, dari setengah jam jadi sejam, motor tak sampai jugak. Entah macam mana, dalam kesempatan yang sedikit itulah Uzir sempat memuji dan menggoda saya. Saya tak nafikan, memang Uzir jejaka idaman remaja kampung. Bila dia puji, saya terus tak sedar diri, hanyut termakan pujiannya. Maklumlah, Uzir jejaka popular kampung. 

“Punyalah seronok. Uzir mula menjalankan peranannya, dia mengurut tangan saya dan cuba memeluk saya, tetapi saya cepat bangun. Dia tak putus asa, terus memeluk saya. Saya kaku dalam pelukannya. Walaupun tidak berlaku sesuatu yang lebih ganas, tetapi saya terus kaku dalam pelukan bila dia kata sudah lama memendam rasa mencintai saya. Aduh! Saya mati kutu! Mati dalam kegembiraan dan pujian setinggi langit. 

“Bila balik rumah 3 jam kemudian, saya hanyut dalam khayalan. Esok saya datang lagi ke rumah Aleen nak tahu adakah dia sudah balik atau belum. Uzir menyambut dengan penuh kegembiraan. Bila dia kata belum makan, saya berlari balik bawakan makanan. Emak pulak kata, kesian Uzir tak makan, tanpa menasihatkan saya jangan pergi ke rumah Aleen sebab Aleen belum balik. 

“Semuanya kerana terlalu percaya. Emak percayakan saya dan percayakan Uzir, langsung tak terfikir benda-benda buruk boleh berlaku bila kami berdua saja dalam rumah. Sekali lagi berlaku puji-pujian dan menyusul pelukan kasih saying, konon demi cinta yang tersembunyi. 

Uzir umpan saya dengan puji-pujian hingga saya hanyut dalam keseronokan. Ketika itulah dia bertindak…

“Dipendekkan cerita, habis tingkatan 5, semasa menunggu masuk tingkatan 6, langkah saya semakin berani. Saya menonton wayang bersama bila Uzir balik kampung. Hubungan kami intim, maklum sedang bercinta dan saya memang sayangkan Uzir kerana Uzir rajin solat, selalu ikut ayahnya ke masjid. Uzir memang lelaki pilihan. 

“Tetapi kemanisan hubungan kami amat pendek. Selepas dapat kerja, Uzir langsung tak balik, konon sibuk kerja. Cuba juga telefon, tak pernah dapat. Akhirnya Aleen beritahu Uzir akan bertunang tak lama lagi. Hancurnya hati sebab kami berjanji selepas saya dapat diploma nanti kami akan berkahwin. Hancurnya hati ini bila saya bukan pilihan Uzir. 

“Setelah bekerja, peristiwa saya dengan Uzir menjadi pengajaran kepada saya. Saya sukar percaya pujukan lelaki. Saya ramai teman lelaki, tetapi tak seorang pun berjaya memikat hati saya hinggalah bertemu bekas suami. Saya lihat dia kurang bercakap walaupun ramai kawan. Kebetulan kami bekerja dalam sebuah bangunan walaupun berlainan jabatan. Bila dia melamar, tanpa banyak cerita saya terima. 

“Tetapi jodoh kami pendek. Oleh kerana kami sebaya, dia lebih suka wanita yang jauh lebih muda daripadanya. Bila rahsianya terbuka, dia tak menafikan, sebaliknya memujuk saya bermadu. Maaf, bersaing atau berebut suami bukan pilihan saya. 

“Prinsip saya, jika suami sudah ada wanita lain jadi calon isterinya, bermakna dia tidak suka dengan isterinya. Kalau dia masih suka dan sayangkan isteri serta anak-anaknya, dia tidak akan mencari isteri baru. 

“Saya memujuknya berfikir 10 kali, namun dia tetap mahu berpoligami. Tetapi saya lebih rela bercerai. Saya mencari ketenangan dalam hidup, bukan nak berperang berebut suami. 

“Lepas bercerai, saya buat keputusan besarkan anak-anak sendirian dan peristiwa saya dengan Uzir membuatkan saya kawal anak-anak supaya tidak jadi macam saya. “Saya paling tak suka dengar perkataan adik angkat, abang angkat dan ayah angkat kerana pada saya itu adalah cara mudah mendekatkan diri dengan orang lain tanpa larangan atau pandangan serong. 

Kesilapan yang saya lakukan itu terus bermain di ingatan sampai sekarang. Saya tak mahu anak-anak saya lakukan kesilapan yang sama.

“Kerana saya anggap keluarga Aleen macam keluarga angkat sayalah, akhirnya hampir merosakkan hidup saya. Nasib saya cepat sedar, tetapi peristiwa pahit itu tetap terpahat di ingatan hingga kini. Zaman sekarang ramai remaja cepat tergoda kerana terjebak dengan wayang yang tersebar dalam telefon. Inilah antara bahaya teknologi di hujung jari, jika kita tersalah langkah. 

“Demikian juga nasihat saya kepada ibu-ibu tunggal yang dipaksa oleh bekas suami mahu bawa anak  bermalam dengan mereka. Nasihat, bimbing dan beritahu anak-anak apa yang boleh dan tak boleh dilakukan ke atas diri mereka, sama ada oleh sepupu lelaki, bapa saudara lelaki mahupun ayah mereka sendiri. Zaman sekarang kalau ayah sendiri boleh merogol anaknya, apa lagi sepupu, rakan baik bahkan ayah saudara. Jadi, hati-hati. 

“Masalah ini boleh diatasi jika anak-anak perempuan diberikan didikan bagaimana menjaga diri sendiri dan berani berkata `Tidak, tak suka dan jangan dekat’.’’ Demikian nasihat Dalhiya kepada ibu-ibu tunggal berdasarkan pengalaman pahit yang dia dan anak perempuannya lalui.

Oleh: MAIMUNAH YUSOF

———————–

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam