Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani menyampaikan cenderahati kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika hadir merasmikan Majlis Pelepasan Program KayuhLasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MEMANG sukar tetapi Harimau Malaya diyakini sudah bersedia berhadapan juara bertahan Piala AFF Suzuki, Vietnam malam ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, lagi pun Malaysia turun ke padang dalam momentum yang baik susulan kemenangan ke atas Kemboja dan Laos.

Sedar skuad kebangsaan kehilangan beberapa tonggak malam ini, namun Ahmad Faizal percaya Tan Cheng Hoe masih dapat menyediakan barisan terbaik untuk memberikan saingan sengit ke atas jaguh bola sepak Asia Tenggara itu.

“Insya-Allah kita mampu bermain dengan baik dan atasi Vietnam seterusnya mara ke separuh akhir dalam usaha untuk menjulang kejuaraan.

“Saya harap mereka berikan yang terbaik demi membawa nama baik negara di atas padang di samping menampilkan semangat kesukaanan tinggi,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan KayuhLasak Shapadu 2021 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu di Putrajaya hari ini.

Program kayuhan tersebut yang disertai 530 peserta dianjurkan Shapadu Pinarello Speda Klub.

Program yang turut disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu merupakan sebuah acara berbasikal lasak di laluan mencabar.

Acara tersebut menyaksikan lapan kategori termasuk terbuka junior antara usia 15 hingga 21 tahun lelaki dan wanita.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Malah, Dr Radzi turut mengambil bahagian dalam kayuhan yang ‘menyajikan’ peserta dengan trek mencabar termasuk laluan berbukit dan berlumpur.

Baca: [VIDEO]: Ahmad Faizal ajak anak muda sertai KayuhLasak Shapadu Putrajaya esok

[VIDEO] KayuhLasak Shapadu tarik penyertaan 500 peserta

Sementara itu, ditanya isu penularan COVID-19 dalam kalangan atlet negara termasuk pasukan Harimau Malaya, Ahmad Faizal berkata, daripada laporan mereka dalam tahap tidak kritikal.

Katanya, ini bukan sahaja melibatkan kem bola sepak kebangsaan tetapi juga skuad hoki waniat dan lelaki yang sepatutnya mengambil bahagian dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT).

Jelas beliau, dalam hal ini KBS memantau rapi perkembangan dan akan melakukan yang terbaik bagi mengelak penularan jangkitan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam mengesahkan skuad senior lelaki kebangsaan tidak akan menyertai ACT 2021 yang dijadual berlangsung di Dhaka, Bangladesh, bermula 14 hingga 22 Disember ini.

Dalam satu kenyataan, badan induk berkenaan berkata ia bagi mengikut arahan dan pandangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selain kementerian-kementerian yang bertanggungjawab mengenai hal pandemik COVID-19 untuk Malaysia menarik diri daripada menyertai kejohanan itu.

Sebelum itu, pasukan hoki wanita negara dikuarantin sejak 1 Disember selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan sebaik pasukan itu tiba di Donghae, Korea Selatan pada 29 November.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram