Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani ketika hadir merasmikan Majlis Pelepasan Program KayuhLasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

ACARA KayuhLasak Shapadu 2021 yang julung-julung kali diadakan hari ini mendapat sambutan hangat apabila disertai seramai 530 peminat aktiviti sukan berbasikal lasak dari dalam negara.

Perlumbaan sejauh 40 kilometer itu bermula di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya dan disertai peserta daripada pelbagai lapisan usia, kaum dan jantina.

Peserta program anjuran Shapadu Pinarello Speda Klab dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan itu dilepaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) beramah mesra dengan peserta-peserta ketika hadir merasmikan Majlis Pelepasan Program Kayuh Lasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Malah, Dr Radzi turut mengambil bahagian dalam kayuhan yang ‘menyajikan’ peserta dengan trek mencabar termasuk laluan berbukit dan berlumpur.

Peserta turut dihidangkan dengan pengalaman melalui denai, anak sungai, kawasan kelapa sawit dan belukar.

KayuhLasak Shapadu 2021 menyaksikan lapan kategori termasuk terbuka junior antara usia 15 hingga 21 tahun lelaki dan wanita.

Selain itu, ia juga menampilkan kategori terbuka lelaki dan wanita (22 hingga 34 tahun); master junior lelaki (35 hingga 44 tahun); master senior lelaki (45 tahun ke atas) dan master wanita bagi 35 tahun ke atas.

Lebih menarik, terdapat kategori khas bagi Heavyweight lelaki 95 kilogram ke atas yang turut dipertandingkan dalam acara tersebut.

KayuhLasak Shapadu 2021 bertujuan membuka laluan kerjasama strategik antara kerajaan, pihak berkuasa komuniti dan korporat dalam menyerlahkan acara sukan dan rekreasi di peringkat komuniti.

Ia juga insiatif menyokong agenda negara untuk melahirkan masyarakat yang aktif dan cergas: membuka peluang penyerlahan bakat sukan ke peringkat lebih tinggi dan menjadi platform peminat sukan lasak beraksi.

Sementara itu, turut diadakan pada program KayuhLasak Shapadu 2021 adalah aktiviti seperti pameran dari agensi dan persatuan, kelab sukan dan kecergasan, senamrobik, zumba, freestyle BMX dan pelbagai aktiviti lain dengan kawalan SOP ketat.