PERSONALITI media sosial, Chazynash tampil berkolaboratif secara muzikal dengan penyanyi dan penulis lagu, Dani Kurama menerus single Jika Aku Pergi.

Mempertaruhkan genre balada pop, single yang merupakan hasil idea mereka berdua itu diterbitkan oleh Rocketfuel Indie Space Station.

“Mungkin ramai di luar sana lebih mengenali saya sebagai personaliti media sosial dengan video-video viral yang saya hasilkan bersama isteri, namun minat menyanyi itu sebenarnya telah lama wujud.

“Sebelum ini, saya ada menghasilkan beberapa buah lagu namun kebanyakannya berbentuk parodi. Sehinggalah saya bertemu Dani Kurama, dan kini saya yakin masanya sesuai untuk muncul dengan sesuatu yang lebih ‘serius’ menerusi platform yang disediakan oleh Rocketfuel Indie Space Station,” kata Chazy.

Sementara itu, bagi Dani yang sudah lama berkecimpung dalam bidang muzik sejak dibangku sekolah lagi, jiwa seni itu sentiasa ada di mana dia sering menghasilkan lagi secara suka-suka di laman YouTube.

Malah, dia pernah mendapat kritikan daripada warganet yang pernah mempertikaikan bakatnya sehinggalah singlenya sebelum ini mendapat sambutan luar jangkaan dan terus menjadi viral di laman media sosial. 

“Muzik sememangnya sudah sebati dalam diri ini dan saya tak peduli dengan apa orang kata kerana yang penting niat saya ikhlas dalam menghasilkan sesuatu. 

“Setiap karya yang saya ciptakan dekat di hati kerana ada kaitan dengan kisah peribadi.

“Single Jika Aku Pergi menceritakan tentang sepasang kekasih yang bercinta namun kecundang di tengah jalan kerana teman wanitanya tiba-tiba berubah hati dan beralih ke lelaki lain yang jauh lebih kaya dan berjaya dari hidup. 

“Namun, bekas teman lelakinya itu tetap mencintai dan merinduinya walaupun telah berpisah, dan hanya mampu berdoa dan mengharapkan yang terbaik dari jauh,” ujar Dani.

Single Jika Aku Pergi yang berdurasi selama 4:18 minit ini dimulai dengan tempo yang perlahan namun bertenaga dan kemudiannya beralih rancak dengan bunyian ‘trap’ moden yang menghiasi keseluruhan lagu tersebut.

“Saya dan Dani pernah menghasilkan sebuah single sebelum ini namun kurang mendapat sambutan, dan dengan adanya platform yang disediakan oleh Rocketfuel Indie Space Station ini, semoga ia dapat melonjakkan lagi nama kami berdua di persada industri muzik tempatan.

“Oleh kerana kami berdua pernah bekerjasama sebelum ini, proses rakaman berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah dan saya senang berkolaborasi dengan Dani. Beliau seorang yang sangat berbakat, punyai idea yang kreatif dan dedikasi yang ditunjukkan wajar dijadikan contoh,” jelas Chazy.

Selain bertindak sebagai penyanyi bersama, Chazy juga turut mencurahkan idea kreatifnya dengan mengarahkan video muzik (MV) single Jika Aku Pergi kerana pengalamannya dalam menghasilkan video-video sebelum ini.

“Kami berharap agar orang ramai dapat menerima muzik yang kami bawakan dan terus memberikan sokongan terhadap single Jika Aku Pergi supaya menjadi hit dan terus viral di laman-laman media sosial,” tuturnya.

Lagu Jika Aku Pergi boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram