Penyanyi Siti Saida Tarudin atau Saida, 44, kini bergelar isteri buat kali ketiga selepas melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya dikenali Aizal, hari ini.

Berita gembira itu dikongsikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 42, juga adik kepada Saida di Instagram rasmi miliknya.

Alhamdulillah, selesai sudah majlis pernikahan kakak kesayangan saya Siti Norsaida Tarudin bersama pasangannya.

“Doa adikmu agar bahagia hingga ke Jannah. Terima kasih suamiku hadir bersama walaupun Subuh tadi dah keluar menyertai pertandingan kayuhan lasak MTB di Putrajaya. Love you darling,” tulisnya di Instagram.

Menerusi beberapa perkongsian di Instagram Story Siti juga, Saida yang juga penyanyi lagu Sedalamnya Cinta itu kelihatan anggun mengenakan gaun kembang berwarna putih, manakala suaminya segak memakai sut bercorak warna hitam.

Pasangan pengantin dan tetamu yang hadir pada majlis itu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada anak saudaranya iaitu anak Siti Sairah, Ummi Umairah.

Sebelum ini, Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan suami pertama, Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.

Kemudian, Saida berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Hafizh Che Mat pada 2016.