KHAMIS lalu, JOOX telah melancarkan single JOOX Originals yang terbaharu bertajuk Jalan dengan mesej semangat perpaduan dan harapan untuk Malaysia dan boleh dimainkan pada 10 Disember.

Lagu ini yang merupakan sebahagian daripada kempen JOOX dengan menampilkan kolaborasi 15 artis ternama dan baharu tanah air yang terdiri daripada Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Sufian Suhaimi, Aziz Harun, Luqman Faiz, Danial Chuer dan Fieya Julia. 

Tidak ketinggalan barisan penyanyi baharu yang cukup berbakat seperti Firdaus Rahmat, Daniesh Suffian, Aniq Iffat, Aisha Retno, Ajoi Zainal, Khodi, Haikal Farid, Erin CTJ serta penampilan istimewa watak animasi kanak-kanak kesukaan ramai, Didi & Friends.

Menurut Angie Tan merangkap ketua JOOX Malaysia, penggiat muzik memainkan peranan yang penting dalam membentuk budaya tempatan dan berharap lagu Jalan ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Penggiat muzik di Malaysia sentiasa menjadi penyumbang dan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya tempatan. Saya berharap ‘Jalan’ dapat memberikan inspirasi dan menaikkan semangat Malaysia,” katanya.

Penyanyi terkenal Malaysia seperti Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah menyifatkan lagu Jalan ini adalah satu lagu yang unik dan berbeza berbanding lagu-lagu yang lain.

Malah, penyanyi asal Brunei, Aziz Harun menyifatkan penghasilan lagu Jalan sesuai dengan seluruh kelompok masyarakat yang melalui fasa pandemik Covid-19 ini.

“Pada saya ini satu usaha dan idea yang sangat baik daripada JOOX kerana ia turut membabitkan artis senior dan baharu. 

“Selain itu ia dapat memberi satu mesej positif melalui kerjasama artis dari generasi berlainan yang menunjukkan kita semua bersatu hati dalam menyampaikan sesuatu yang baik,” kata Faizal.

Bagi penyanyi yang pernah menjulang tiga kali berturut-turut trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL), Dayang Nurfaizah berkata, gabungan artis lama dan baharu dalam projek lagu ‘Jalan’ ini sesuatu yang bagus untuk industri muzik tanah air.

“Keunikan lagu ini terletak pada lirik yang memberi mesej dan bermakna sekaligus mudah difahami oleh generasi sekarang. Pastinya melodi lagu ini yang ‘catchy’. Apabila nak nyanyi, korusnya senang untuk kita nyanyikan bersama,” ujarnya.

Bagi penyanyi baharu, Aisha Retno dan Khodi, melalui projek JOOX ini dapat memberikan pengalaman berharga dalam kerjaya muzik dan peluang ini adalah satu penghormatan buat mereka.