WALAUPUN bergelar penyanyi otai, namun ia bukan satu kelebihan untuk kekal dalam pertandingan realiti Hijrahkan Laguku (HL) terbitan TV AlHijrah.

Buktinya, dua minggu berturut-turut penyanyi popular di era 90-an yang menyertai rancangan ini gagal melayakkan diri ke minggu seterusnya.

Jika Rahmad Mega meninggalkan pentas HL pada episod ketiga, episod keempat HL yang berlangsung semalam (Ahad) pula menyaksikan Zack Kool yang pernah popular dengan lagu Bebas tersingkir.

Bertemakan Madley, Zack Kool yang menyampaikan lagu Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah gagal menambat hati Fauzi Marzuki, Hazimin Inteam serta Ustaz Syamsul Debat yang hadir sebagai juri apabila hanya mendapat 55 markah keseluruhan.

Zack berkata, walau terpaksa meninggalkan HL dia berpuas hati dengan persembahannya sepanjang empat minggu bersama keluarga HL.

“Sukar untuk saya nilai diri sendiri. Namun saya yakin, peminat dan penonton HL dapat melihat kesungguhan saya berdakwah menerusi bait lirik dan lagu.

“Saya bersyukur rezeki sampai di sini sahaja. Saya tidak berfikir langsung tentang kegagalan menjadi juara pada kali ini. Saya lebih memikirkan tentang reda Allah dan Rasulullah terhadap apa yang saya dakwahkan menerusi persembahan lagu.

“Apa yang dapat saya simpulkan, saya sudah buat yang terbaik. Sepanjang empat minggu bersama HL, saya berjaya sampaikan mesej tentang taubat, istiqamah dalam perjuangan, kematian, dan cintakan Nabi Muhammad.

“Semua ini saya lakukan menerusi lagu Bebas, Bisikan Kalbu, Tak Kekal Lama serta Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah,” katanya.

Mark Adam dan Zack Kool diumumkan sebagai peserta markah terendah

Ditanya tentang perancangan setelah tamat perjuangannya di HL, Zack menyatakan dia akan berada di studio untuk menjalani rakaman lagu dan membuat kerja-kerja menulis lirik ketuhanan.

“Saya merancang untuk menyanyikan lagu baru ini di salah satu episod HL. Namun apakan daya, perjuangan saya terhenti di sini. Jika diberi peluang, saya ingin nyanyikan lagu baru ini di platform bersesuaian yang diberikan oleh TV AlHijrah.

“Apa-apa pun, tahniah saya ucapkan kepada TV AlHijrah atas peluang yang diberikan kepada kami yang sudah berhijrah untuk terus bergelar anak seni di ruangan berbeza yang lebih diredai Yang Maha Esa,” luahnya.

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna iaitu Zulkarnaen Mokhtar menyambut baik hasrat Zack untuk terus berdakwah di platform TV AlHijrah.

“Adat pertandingan realiti. Perlu ada penyingkiran. Perlu ada juara. Namun, kami tidak akan mensia-siakan perjalanan hijrah artis-artis HL.

“TV AlHijrah bukan sahaja pentas untuk para asatizah menyampaikan ilmu agama, tetapi kami juga buka stesen kami untuk para artis dan penggiat seni untuk sama-sama berdakwah mengikut keupayaan, bakat dan ruang lingkup masing-masing.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, para peminat kelapan-lapan artis HL akan kerap melihat kemunculan artis kesayangan mereka ini di TV AlHijrah sama ada sebagai hos, panel mahupun penghibur. Kita sama-sama doa yang terbaik,” jelas Zulkarnaen.

Sementara itu, persembahan meruntun jiwa dari Mark Adam dan PG Adam membuatkan suasana di studio TV AlHijrah sepi seketika.

Penonton dilihat hiba, malahan ada yang mengalirkan air mata apabila PG Adam menyampaikan lagu Untukmu Kasih dalam mengenang arwah ibunya yang pergi meninggalkan dunia empat tahun lalu akibat kompilkasi jantung.

Suasana bertambah pilu tatkala Mark Adam menyanyikan lagu nyanyian Allahyarham Siti Sarah yang merupakan sahabat baiknya dan isterinya Norazah Redzuan.

Penjiwaan Mark ditambah dengan penghayatan persembahan dan lirik lagu menyelamatkannya daripada tersingkir walaupun berada dikedudukan kedua terbawah.

HL episod keempat berakhir dengan pengumuman Shahir Zawawi yang menyanyikan lagu Berharap Padamu bergelar peserta terbaik dengan 79 markah.

Shahir Zawawi meraih markah paling tinggi

Manakala, Datuk Nash yang mengalunkan lagu Debunga Rindu berada di kedudukan kedua dengan 68 markah dan Iwan Shahman yang menyanyikan lagu Sayang Rasul, Cinta Allah di tempat ketiga dengan 66 markah.

Penyingkiran Zack menjadikan enam peserta lagi yang tinggal untuk terus berjuang di episod kelima bertemakan Laguku, Lagumu Jua pada minggu hadapan.

Untuk rekod, HL bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam.

Rancangan ini mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Hotel Premiera Kuala Lumpur pula adalah penaja penginapan rasmi HL.

Siaran ulangan HL boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Untuk mendapatkan maklumat terkini serta menikmati rancangan dan perkembangan semasa dunia dan tanah air, jangan lupa untuk “Like” dan “Follow” laman sosial Facebook TV AlHijrah dan Instagram TV AlHijrah.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram